MADRID: Jose Mourinho bersedia menjual Aurelien Tchouameni kepada Manchester United bagi membolehkan Real Madrid mengumpul dana untuk mendapatkan juara Piala Dunia, Rodri.
The Red Devils dilaporkan sudah membuat pertanyaan mengenai Tchouameni yang dianggarkan bernilai £68 juta (RM370 juta), dengan pengurus Michael Carrick mahu mendapatkan pemain tengah bertahan tulen bagi menyertai Andrey Santos dan Youri Tielemans.
Real pula terdesak mendapatkan bintang Manchester City, Rodri yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia selepas membantu Sepanyol menewaskan Argentina pada final Ahad lalu.
Kapten Sepanyol berusia 30 tahun itu dianggarkan bernilai £85 juta (RM462 juta) dan hanya berbaki 12 bulan dalam kontraknya di Stadium Etihad, selain dijangka terlepas permulaan musim Liga Perdana Inggeris kerana perlu menjalani pembedahan kecil bahagian belakangnya.
Jurulatih baharu Real, Mourinho pada awalnya merancang mengekalkan Tchouameni yang masih terikat kontrak hingga 2028 dan dilaporkan sudah mencapai persetujuan lisan untuk melanjutkan kontraknya di Santiago Bernabeu.
Bagaimanapun, menurut laporan SunSport, juara Piala Eropah 15 kali itu kini bersedia menjual pemain berkenaan.
Tchouameni menyertai Real dari Monaco pada 2022 dengan yuran permulaan £68 juta (RM370 juta).
Sumber dalaman Real berkata minat United terhadap pemain itu kini "sangat kuat" selepas Piala Dunia berakhir.
United kehilangan dua pemain tengah apabila pemain veteran Brazil, Casemiro, 34, menyertai Inter Miami manakala pemain Uruguay berusia 25 tahun, Manuel Ugarte mengalami kecederaan lutut serius ketika Piala Dunia.
Usia, status dan pengalaman Tchouameni, termasuk pernah beraksi dalam kesebelasan utama final Piala Dunia 2022 menentang Argentina serta menjulang Liga Juara-Juara bersama Real, menjadikannya sasaran utama United.
Bekas pemain Monaco itu juga memenuhi profil umur yang diutamakan United iaitu antara 22 hingga 26 tahun. – AGENSI
























