MILAN: Pemain veteran Croatia, Luka Modric melanjutkan kontraknya bersama AC Milan selama semusim lagi, umum kelab Serie A itu.
Pemain tengah itu akan mencecah usia 41 tahun dalam tempoh kurang dua bulan, namun kekal mengikat kontrak bersama Milan sehingga 30 Jun 2027.
Modric menyertai kelab gergasi Itali itu pada 2025 dan menjaringkan dua gol dalam 37 penampilan musim lalu.
"Antara pemain terbaik dan paling ikonik dalam bola sepak dunia, pemain Croatia itu akan meneruskan perjalanannya dengan jersi Rossoneri," menurut AC Milan dalam satu kenyataan.
Modric muncul naib juara Piala Dunia bersama Croatia pada 2018, selain memenangi Ballon d'Or pada tahun yang sama dan turut menjulang enam gelaran Liga Juara-Juara ketika bersama Real Madrid dari 2012 hingga 2025.
Pada Piala Dunia musim panas ini, dia mengetuai Croatia mara ke pusingan 32 terakhir sebelum tersingkir secara dramatik di tangan Portugal.
Selepas menamatkan saingan Serie A di tangga kelima susulan musim yang mengecewakan, AC Milan menukar jurulatih apabila bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengambil alih tugas daripada Massimiliano Allegri.
Mereka turut membawa masuk penyerang Portugal, Goncalo Ramos dari Paris Saint-Germain dengan nilai melebihi 70 juta euro (RM325 juta), selain pertahanan Sepanyol, Mario Gila dari Lazio dengan harga 30 juta euro (RM139 juta), menurut laman sesawang perpindahan bola sepak, Transfermarkt. – AFP
























