BARCELONA: Barcelona berdepan kehilangan khidmat Frenkie de Jong selama beberapa minggu selepas pemain tengah Belanda itu kembali daripada Piala Dunia 2026 dengan kecederaan ligamen lutut.
Kelab juara La Liga itu memaklumkan kecederaan yang dialami De Jong lebih serius daripada penilaian awal, namun pemain berusia 29 tahun itu tidak memerlukan pembedahan buat masa ini.
De Jong beraksi di Piala Dunia dengan lututnya dibalut tebal sebelum Belanda tersingkir pada pusingan 32 terakhir menerusi penentuan penalti kepada Maghribi.
"Kecederaan itu lebih serius daripada yang ditentukan pada awalnya. Mujur, pada tahap ini tiada keperluan untuk menjalani pembedahan dan saya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Kecederaan berkenaan menjadi tamparan buat Barcelona yang sedang memburu kejuaraan La Liga buat kali ketiga berturut-turut.
Mereka dijadual memulakan kempen dengan berkunjung ke laman Elche pada 23 Ogos ini.
























