BUENOS AIRES: Lionel Messi mungkin tidak akan terus meninggalkan skuad kebangsaan Argentina selepas Piala Dunia 2026, sebaliknya berpotensi memainkan peranan sebagai pembimbing kepada generasi baharu pasukan itu.
Masa depan kapten Argentina berusia 39 tahun itu menjadi tanda tanya selepas La Albiceleste gagal mempertahankan kejuaraan dunia apabila tewas kepada Sepanyol pada aksi final di New Jersey.
Namun, pakar bola sepak Amerika Selatan, Tim Vickery berpandangan Messi masih boleh memberi sumbangan kepada Argentina walaupun tidak lagi beraksi sebagai pemain utama.
Menurut Vickery, peranan Messi pada masa depan mungkin lebih kepada membimbing pemain muda seperti Nico Paz yang dianggap antara calon penting untuk meneruskan legasi skuad kebangsaan.
"Dia boleh menjadi seperti Master Yoda buat Argentina. Dia masih boleh berada dalam pasukan, membantu dan membimbing pemain muda.
"Jika dia mahu, dia boleh memainkan peranan penting dalam perkembangan generasi baharu Argentina," katanya.
Messi sebelum ini menjadi tonggak utama kejayaan Argentina apabila membantu negara itu menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang Piala Dunia pada 2022.
Selain itu, pemain yang memenangi lapan anugerah Ballon d'Or itu turut membantu Argentina meraih Copa America pada 2021 dan 2024.
Bagaimanapun, selepas kekalahan kepada Sepanyol pada final Piala Dunia 2026, Messi masih belum membuat keputusan rasmi mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Nico Paz, 21, kini dilihat antara pemain yang berpotensi menjadi penerus legasi Messi selepas mula mendapat perhatian di pentas antarabangsa.
Pemain tengah menyerang itu pernah berada dalam akademi Real Madrid sebelum menyertai Como dan mula mendapat tempat dalam perancangan skuad Argentina.
Namun, Paz sendiri mengakui tiada siapa mampu menggantikan pengaruh Messi dalam pasukan.
"Tiada pemain yang boleh menggantikan Leo. Dia adalah pemain yang unik dan apa yang dilakukannya untuk Argentina sangat luar biasa," kata Paz sebelum ini.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni juga mengakui belum mengetahui keputusan Messi selepas final Piala Dunia dan menghormati apa saja pilihan yang dibuat oleh kaptennya itu.
Jika Messi memilih untuk bersara daripada pentas antarabangsa, Argentina perlu bergantung kepada generasi baharu seperti Paz untuk meneruskan kejayaan yang dibina sejak era Scaloni.
























