MANCHESTER: Elliot Anderson menyifatkan Manchester City sebagai 'Raja Manchester' selepas melengkapkan perpindahan bernilai 116 juta pound (RM632.8 juta) dari Nottingham Forest.
Manchester City mengesahkan pemain tengah England berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun di Stadium Etihad dengan pilihan lanjutan selama setahun lagi.
Perjanjian perpindahan itu dipersetujui awal bulan ini, namun hanya dimuktamadkan minggu ini selepas Anderson pulang daripada tugasan bersama England di Piala Dunia.
Anderson berkata, dia amat teruja menyertai antara kelab terbesar dunia dan tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama kelab berkenaan.
"Saya sangat gembira dapat menyertai salah sebuah kelab terbesar dunia. Saya tidak sabar untuk bermain bersama kelab ini.
"City ialah pasukan yang dibina untuk memenangi trofi dan bersaing di tahap tertinggi. Itu sesuatu yang mengujakan bagi mana-mana pemain.
"Mereka adalah pasukan yang sentiasa mahu menang. Sepanjang 10 hingga 12 tahun lalu, mereka mendominasi dan itulah sebab utama saya mahu menyertai mereka," katanya.
Anderson turut mengakui tidak sabar merasai pengalaman beraksi dalam Manchester Derby apabila City dijadual menentang Manchester United di Old Trafford pada 13 September ini.
"Ia antara derbi terbesar di dunia dan sepanjang saya mengenali bola sepak di Manchester, City adalah 'Raja Manchester'. Ia pasti menjadi perlawanan hebat dan saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripadanya," katanya.
























