BH Online
Ringkasan Berita

Guardiola tuntut gaji RM93 juta, Itali hanya tawar RM46 juta

MILAN: Pep Guardiola dilaporkan semakin hampir menolak tawaran untuk menjadi pengendali Itali walaupun Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dikatakan sanggup membuat pengecualian dari segi kewangan bagi memikat pengendali berprofil tinggi itu.
Guardiola tuntut gaji RM93 juta, Itali hanya tawar RM46 juta

Pep Guardiola dilaporkan semakin hampir menolak tawaran untuk menjadi pengendali Itali. Foto: AFP

MILAN: Pep Guardiola dilaporkan semakin hampir menolak tawaran untuk menjadi pengendali Itali walaupun Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dikatakan sanggup membuat pengecualian dari segi kewangan bagi memikat pengendali berprofil tinggi itu.

Guardiola kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Manchester City pada penghujung musim lalu, sekali gus menamatkan tempoh sedekad yang menyaksikannya memenangi 20 trofi.

FIGC sedang mencari jurulatih baharu selepas Gennaro Gattuso meletakkan jawatan pada April lalu susulan kegagalan Azzurri melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Menurut laporan Gazzetta dello Sport, Guardiola bertemu pengarah teknikal FIGC, Paolo Maldini dan penasihatnya, Leonardo di Barcelona minggu lalu bagi membincangkan kemungkinan mengendalikan skuad kebangsaan Itali.

Bagaimanapun, rundingan itu dilaporkan tidak menghasilkan perkembangan positif apabila kedua-dua pihak masih jauh daripada mencapai persetujuan, terutama membabitkan soal gaji.

Guardiola dikatakan mahukan bayaran sekitar 20 juta euro (RM93.4 juta) setahun, manakala FIGC hanya mampu menawarkan kira-kira 10 juta euro (RM46.6 juta) setahun.

Walaupun hubungan Guardiola dengan Maldini dan Leonardo dikatakan sangat baik, kedua-duanya dilaporkan pulang dari Barcelona dengan keyakinan yang rendah terhadap peluang memuktamadkan perjanjian.

FIGC turut menawarkan projek pembangunan menyeluruh yang memberikan Guardiola pengaruh besar dalam membentuk hala tuju bola sepak Itali di semua peringkat.

Namun, pengendali berusia 55 tahun itu dikatakan keberatan untuk kembali menggalas tugas kejurulatihan dalam masa terdekat kerana mahu menunaikan janjinya kepada keluarga untuk menetap di Barcelona selepas meninggalkan England.

Difahamkan, Guardiola hanya akan mempertimbangkan tawaran itu sekiranya mendapat persetujuan daripada keluarganya.

Presiden FIGC, Giovanni Malago sebelum ini mengakui pihaknya sanggup membuat pengecualian dari aspek kewangan demi mendapatkan Guardiola.

"Pengecualian sudah dibuat, termasuk bagi nama besar seperti Pep Guardiola. Namun, ia tidak bermakna rundingan itu pasti berjaya," katanya.

Sekiranya Guardiola menolak tawaran berkenaan, FIGC dijangka mengalihkan perhatian kepada beberapa calon lain termasuk bekas jurulatih Itali, Roberto Mancini, legenda Azzurri, Andrea Pirlo dan pengendali Napoli, Antonio Conte.

Sementara itu, jurulatih skuad bawah 21 tahun Itali, Silvio Baldini, yang mengendalikan pasukan secara sementara pada aksi antarabangsa Jun lalu, turut kekal sebagai pilihan jika pencarian jurulatih baharu berlarutan.

Video Terkini

Berita Berkaitan