MILAN: Itali terlebih dahulu menghubungi Carlo Ancelotti mengenai jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan sebelum membuka perbincangan dengan Pep Guardiola, kata pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC), Paolo Maldini.
Maldini berkata, pihaknya tidak menafikan Ancelotti menjadi antara calon awal yang dipertimbangkan selepas Itali mencari pengendali baharu susulan peletakan jawatan Gennaro Gattuso pada April lalu.
Gattuso meninggalkan tugas selepas juara dunia empat kali itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
"Kami tidak boleh menyembunyikan hakikat bahawa kami turut bercakap dengan Carlo Ancelotti sebelum berbincang dengan Pep. Secara jujur, adalah wajar untuk kami bermula dengan individu yang kami anggap terbaik di dunia," kata Maldini kepada pemberita.
Ancelotti, yang juga bekas rakan sepasukan Maldini ketika bersama AC Milan, bagaimanapun kekal sebagai jurulatih Brazil selepas Persatuan Bolasepak Brazil mengesahkan kedudukannya walaupun pasukan itu tersingkir kepada Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Selepas pertemuan bersama pengurusan Serie A, Maldini berkata, FIGC berharap dapat melantik jurulatih baharu sebelum hujung minggu ini, namun keutamaan mereka adalah mendapatkan calon yang tepat.
"Kami secara jujur tidak boleh memberikan sebarang perkembangan mengenai apa yang sedang berlaku ketika ini," katanya ketika ditanya mengenai laporan bahawa Guardiola meminta gaji sehingga 20 juta euro (RM93.4 juta) setahun untuk mengendalikan Itali, iaitu hampir dua kali ganda daripada tawaran FIGC.
Laporan media Itali turut menyebut keinginan Guardiola untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya di Barcelona menjadi antara faktor yang merumitkan rundingan.
Antara calon lain yang turut dikaitkan ialah Antonio Conte, yang pernah mengendalikan Itali dari 2014 hingga 2016, selain bekas pemain tengah Azzurri, Andrea Pirlo.
Nama Roberto Mancini juga disebut sebagai pilihan alternatif selepas membimbing Itali menjulang Kejohanan Eropah pada 2021.
























