LONDON: Aston Villa mendapatkan khidmat pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho daripada Chelsea menerusi perjanjian pinjaman selama semusim, dengan klausa kewajipan pembelian bersyarat untuk menjadikan perpindahan itu kekal pada musim panas depan.
Kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan perpindahan berkenaan hari ini, dengan pengendali Aston Villa, Unai Emery, menyambut baik kehadiran pemain berusia 22 tahun berkenaan.
"Kami sangat gembira dengan Alejandro. Dia pemain yang sangat berbakat, masih muda dan dia menunjukkan keinginan untuk membantu projek kami. Kami benar-benar gembira," kata Emery dalam kenyataan kelab.
Garnacho menyertai Villa selepas mengharungi musim sukar bersama Chelsea apabila gagal mendapatkan tempat secara tetap dalam kesebelasan utama selepas perpindahan bernilai 40 juta pound (RM218 juta) dari Manchester United tahun lalu.
Sepanjang bersama Chelsea, pemain kelahiran Argentina itu merekodkan 43 penampilan dalam semua pertandingan dengan sumbangan lapan gol.
Sebelum berhijrah ke Stamford Bridge, Garnacho menghabiskan lima tahun bersama Manchester United selepas meninggalkan akademi Atletico Madrid.
Garnacho menjaringkan 26 gol dalam 144 penampilan bersama kelab Old Trafford itu, namun mula tersisih daripada perancangan pasukan di bawah bekas jurulatih Ruben Amorim sebelum perpindahannya.
Garnacho yang pernah mewakili Argentina di peringkat antarabangsa turut disenaraikan dalam skuad awal 55 pemain negara itu bagi Piala Dunia, namun gagal mendapat tempat dalam senarai akhir.
























