LONDON: Arsenal mengesahkan pembelian penyerang Greece, Christos Tzolis daripada Club Brugge dengan kontrak jangka panjang sekali gus memperkukuhkan jentera serangan kelab itu menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut laporan media Britain, pemain berusia 24 tahun itu menyertai juara England berkenaan dengan nilai perpindahan sekitar 34 juta pound (RM186 juta), jumlah yang mencipta rekod baharu Liga Belgium.
Tzolis meluahkan rasa bangga selepas melengkapkan perpindahan ke utara London dan menyifatkan peluang beraksi bersama Arsenal sebagai pencapaian istimewa dalam kariernya.
"Saya masih cuba menyedari apa yang berlaku. Ia sesuatu yang luar biasa untuk menyertai kelab sebesar ini, juara England. Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini untuk musim akan datang," katanya menerusi kenyataan kelab.
Ketibaan Tzolis ke Emirates hadir selepas dua musim cemerlang bersama Club Brugge apabila mencatat 108 penampilan dalam semua pertandingan dengan sumbangan 43 gol dan 45 bantuan jaringan.
Beliau turut membantu kelab Belgium itu menjulang Piala Belgium pada 2025 sebelum dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Belgium musim ini ketika Club Brugge merangkul kejuaraan liga.
Tzolis memulakan karier profesional bersama PAOK sebelum berhijrah ke Norwich City pada 2021.
Sepanjang tiga tahun di England, Tzolis membuat 14 penampilan Liga Perdana Inggeris sebelum berpindah ke Belgium pada 2024.
Pemain kebangsaan Greece itu pernah mewakili negaranya di pelbagai peringkat umur sebelum melakukan penampilan sulung skuad senior pada Oktober 2020.
Sehingga kini, Tzolis sudah mengumpul 34 kaps bersama Greece dan dijangka menjadi antara pilihan utama Arsenal dalam usaha memperkukuhkan cabaran mereka di pentas domestik serta Eropah.
























