LONDON: Presiden Persatuan Bolasepak Norway (NFF), Lise Klaveness berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan keputusan menggantung hukuman penggantungan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun pada Piala Dunia 2026.
Klaveness menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang 'tidak sepatutnya berlaku' kerana berpotensi menjejaskan integriti bola sepak.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah NFF sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada FIFA.
"Saya akan membawanya ke mesyuarat lembaga dan membincangkannya bersama ahli lembaga sebelum kami meneruskannya.
"Bagi saya, isu ini wajar dikendalikan sebagai aduan berkaitan etika," katanya kepada The Times.
Kontroversi tercetus selepas Balogun dilayangkan kad merah ketika membantu AS menewaskan Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terbaik, sekali gus dikenakan penggantungan automatik bagi perlawanan menentang Belgium.
Bagaimanapun, FIFA kemudian menggantung pelaksanaan hukuman itu, sekali gus membolehkan Balogun diturunkan.
Keputusan berkenaan mengundang kritikan meluas selepas timbul dakwaan bahawa Presiden AS, Donald Trump, campur tangan dengan menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Belgium kemudian menewaskan Amerika Syarikat 4-1 dalam perlawanan itu.
"Apabila anda mula melonggarkan sesuatu peraturan seperti ini, anda berada di landasan berbahaya yang boleh meletakkan keseluruhan permainan dalam risiko.
"Kami semua tahu keputusan itu dipengaruhi kuasa luar dan tidak melalui proses yang sepatutnya. Pemimpin FIFA perlu mengakui bahawa perkara ini adalah satu kesilapan," katanya.
Klaveness, yang mengetuai NFF sejak 2022, turut mempersoalkan laporan bahawa keputusan menggantung hukuman Balogun dibuat secara bersendirian oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Mohammad Al-Kamali, tanpa mendapatkan pandangan ahli jawatankuasa lain.
Menurutnya, keputusan yang kontroversi sepatutnya dibuat secara kolektif, lebih-lebih lagi apabila wujud dakwaan campur tangan daripada pihak berkepentingan.
Beliau turut menegaskan isu itu tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.
"Terlalu ramai pihak, termasuk jurulatih, pemain dan penyokong, merasakan perkara ini terlalu hampir dengan sempadan yang boleh menjejaskan integriti permainan," katanya.
























