BH Online
Ringkasan Berita

Penyokong Harimau Malaya kempunan?

KUALA LUMPUR: Dua hari sebelum Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN, penyokong bola sepak tanah air masih menanti kepastian mengenai saluran yang akan menyiarkan aksi skuad kebangsaan dalam misi memburu kejuaraan serantau.
Penyokong Harimau Malaya kempunan?

Piala ASEAN 2026 akan disingkap tirainya esok.

KUALA LUMPUR: Dua hari sebelum Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN, penyokong bola sepak tanah air masih menanti kepastian mengenai saluran yang akan menyiarkan aksi skuad kebangsaan dalam misi memburu kejuaraan serantau.

Walaupun Astro Arena, Astro Go dan Sooka disenaraikan sebagai platform rasmi di Malaysia untuk siaran langsung majlis undian rasmi kejohanan pada Januari lalu, butiran mengenai liputan penuh kejohanan termasuk perlawanan Harimau Malaya masih belum disahkan.

Ketidakpastian itu hadir ketika negara jiran sudah memuktamadkan pelan penyiaran masing-masing bagi edisi ulang tahun ke-30 kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara yang akan bermula, esok.

Singapura baru-baru ini memperbaharui kerjasama dengan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), sekali gus menyaksikan MediaCorp kekal sebagai Rakan Penyiar Rasmi bagi kejohanan berkenaan.

Thailand turut mengesahkan TrueVisions sebagai rakan penyiar rasmi, manakala Indonesia akan menyiarkan kejohanan menerusi RCTI, Vision+, RCTI+ serta beberapa platform televisyen berbayar terpilih.

Piala ASEAN yang dianggap sebagai kejohanan paling berprestij dalam bola sepak Asia Tenggara menampilkan pasukan kebangsaan terbaik rantau ini termasuk juara bertahan Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Kejohanan akan bermula esok dengan aksi pembukaan membabitkan Kemboja menentang Singapura dalam Kumpulan A, manakala perlawanan akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 22 dan 26 Ogos.

Bagaimanapun penyokong Malaysia ketika ini masih tercari-cari di mana platform untuk mereka menyaksikan aksi Harimau Malaya sepanjang kejohanan.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth, berkata kerjasama penyiaran yang dijalin oleh badan induk itu mencerminkan komitmen mereka untuk memperluaskan capaian bola sepak ASEAN serta menghubungkan penyokong di seluruh rantau ini.

"AFF berbangga dapat meneruskan kerjasama yang sudah lama terjalin dengan MediaCorp, yang mana komitmen mereka tidak pernah berbelah bahagi dalam memainkan peranan penting untuk membawa keterujaan, semangat dan kisah inspirasi bola sepak ASEAN kepada penonton di seluruh Singapura," katanya.

Selepas kemeriahan Piala Dunia, tumpuan kini beralih kepada pentas bola sepak terbesar Asia Tenggara dengan Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.

Harimau Malaya seterusnya akan melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 28 Julai ini sebelum bertandang ke Stadium Rajamangala untuk menentang Thailand (1 Ogos) dan menutup saingan kumpulan dengan aksi menentang Filipina (8 Ogos).

Video Terkini

Berita Berkaitan