BH Online
Ringkasan Berita

Zidane dijangka ganti Deschamps

PARIS: Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) akan mengadakan sidang media pada 28 Julai ini bagi mengumumkan pengendali baharu skuad kebangsaan sekali gus dijangka mengesahkan pelantikan legenda negara itu, Zinedine Zidane.
Zidane dijangka ganti Deschamps

Zinedine Zidane (kanan) bersama Didier Deschamps pada perlawanan amal di Bastia, Corsica, pada 14 Mei 2018. Foto: Fail AFP

PARIS: Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) akan mengadakan sidang media pada 28 Julai ini bagi mengumumkan pengendali baharu skuad kebangsaan sekali gus dijangka mengesahkan pelantikan legenda negara itu, Zinedine Zidane.

Walaupun FFF tidak menamakan calon dalam kenyataan rasminya hari ini, media tempatan melaporkan Zidane menjadi pilihan utama untuk menggantikan Didier Deschamps.

Zidane, 54, sejak sekian lama dianggap calon paling sesuai mengemudi Les Bleus dan dilaporkan menunggu peluang mengambil alih pasukan kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.

Dia dijangka menggantikan Deschamps yang menamatkan khidmat pada Sabtu lalu selepas Perancis menutup kempen Piala Dunia 2026 di tempat keempat.

Bekas pengendali Real Madrid itu tidak lagi memegang jawatan sebagai jurulatih sejak menamatkan penggal keduanya bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Zidane tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk suatu hari nanti membimbing skuad kebangsaan Perancis.

Jika pelantikannya disahkan, Zidane akan mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Laurent Blanc, yang mengendalikan Perancis dari 2010 hingga 2012, sebelum jawatan itu diambil alih Deschamps.

Sebagai pemain, Zidane mencipta sejarah apabila membantu Perancis menjulang trofi Piala Dunia 1998 dan Kejohanan Eropah 2000.

Sepanjang karier kejurulatihannya, Zidane hanya pernah membimbing Real Madrid, namun mencipta pencapaian luar biasa apabila membawa kelab itu muncul juara Liga Juara-Juara tiga musim berturut-turut pada 2016, 2017 dan 2018, rekod yang belum pernah dicapai dalam era moden pertandingan itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan