BH Online
Ringkasan Berita

Moriyasu kekal kendali Jepun hingga Piala Asia

TOKYO: Hajime Moriyasu dilaporkan menandatangani kontrak baharu untuk terus membimbing skuad kebangsaan Jepun sehingga tamat saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Moriyasu kekal kendali Jepun hingga Piala Asia

Hajime Moriyasu dilaporkan menandatangani kontrak baharu untuk terus membimbing skuad kebangsaan Jepun sehingga tamat saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi. Foto: REUTERS

TOKYO: Hajime Moriyasu dilaporkan menandatangani kontrak baharu untuk terus membimbing skuad kebangsaan Jepun sehingga tamat saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Menurut laporan media tempatan hari ini, kontrak pengendali berusia 57 tahun itu akan berakhir sejurus selepas kejohanan yang dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan.

Laporan yang memetik Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) turut menyebut Moriyasu akan melepaskan jawatannya tanpa mengira pencapaian pasukan pada kejohanan berkenaan.

Moriyasu dijangka digantikan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Jepun, Go Oiwa.

Moriyasu, yang juga pengendali paling lama berkhidmat bersama skuad Samurai Biru, mengambil alih pasukan selepas berakhirnya Piala Dunia 2018 di Russia.

Sepanjang tempoh itu, Moriyasu mencipta kejutan apabila membawa Jepun menewaskan Jerman dan Sepanyol pada Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia pada pusingan 16 terakhir.

Pada Piala Dunia 2026 di Amerika Utara pula, Moriyasu membantu Jepun mara ke pusingan 32 terbaik sebelum tersingkir selepas tewas 1-2 kepada Brazil hasil jaringan kemenangan lawan pada masa kecederaan.

Selain dua kempen Piala Dunia, Moriyasu turut membimbing Jepun pada dua edisi Piala Asia, Copa America serta Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021, dengan pasukan menamatkan saingan di tempat keempat.

Pada Piala Asia 2027, Jepun diundi dalam Kumpulan F bersama juara bertahan Qatar, Thailand dan Indonesia.

Jepun pernah meraih gelaran di pentas Asia sebanyak empat kali dengan yang terbaharu pada 2011.

Mereka tersingkir di suku akhir pada kempen 2024 di Qatar.

Video Terkini

Berita Berkaitan