BH Online
Ringkasan Berita

Wan Kuzain lepaskan pasport Amerika demi Harimau Malaya

SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal mengakui perlu melalui fasa sukar sebelum membuat keputusan untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
Wan Kuzain lepaskan pasport Amerika demi Harimau Malaya

Wan Kuzain (kiri) ketika beraksi bersama kelab Sporting JAX dalam saingan USL Championship (USLC). - Foto ihsan Sporting JAX

SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal mengakui perlu melalui fasa sukar sebelum membuat keputusan untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, rakyat negara ini tidak dibenarkan mempunyai dua pasport atau dua kewarganegaraan.

Justeru, ia boleh dianggap sebagai satu keputusan 'besar' yang terpaksa dibuat Wan Kuzain untuk menyertai Harimau Malaya buat kali pertama selepas dia menjadi antara pemain dalam skuad Piala ASEAN 2026.

Ketika ditanya mengenai sejauh mana kesukarannya untuk melepaskan satu pasport, pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mengakui ia bukan perjalanan yang mudah, namun gembira dapat bersama Harimau Malaya.

"Ya, sudah tentu, kita semua tahu ia bukan satu perjalanan yang mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Jadi, saya gembira akhirnya dapat berada di sini dan bercakap dengan anda semua.

"Harap saya dapat membuat penampilan sulung dalam beberapa hari lagi. Jadi, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sangat teruja dan tidak sabar," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Wan Kuzain berlepas ke Yangon bersama skuad Harimau Malaya, bagi mengharungi aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala SEAN berdepan Myanmar, Sabtu ini.

Sejak beberapa tahun lalu, nama Wan Kuzain kerap dikaitkan dengan skuad kebangsaan dan peluang pertamanya untuk mewakili Malaysia hadir pada 2019 apabila dipanggil menyertai skuad bawah 22 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.

Bagaimanapun, masalah dokumentasi berkaitan status kewarganegaraannya menyebabkan beliau tidak dapat didaftarkan untuk kejohanan itu, sekali gus terlepas peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Dia yang beraksi bersama kelab Sporting JAX dalam saingan USL Championship (USLC) mengakui tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya sambil mengakui akan memberikan segala-galanya buat pasukan negara.

"Setakat ini semuanya baik, saya baru berada di sini beberapa hari, tetapi daripada apa yang saya lihat, ini adalah pasukan yang mempunyai banyak pengalaman dengan beberapa pemain muda.

"Saya sedia mempamerkan prestasi yang baik, menunjukkan kepada negara dan juga kepada diri saya sendiri. Saya sudah menunggu untuk melakukannya selama ini dan akan cuba memberikan segala-galanya di atas padang.

"Anda mempunyai mentaliti bahawa tidak kira jika anda kecil, rendah, kurus atau apa pun keadaannya, anda sentiasa mempunyai peluang. Bagi dunia sukan, tidak kira jika anda menentang Brazil, Argentina, atau sesiapa sahaja, anda sentiasa ada peluang.

"Ia adalah 11 pemain menentang 11 pemain, jadi itulah mentaliti yang saya akan sentiasa bawa dan berjuang hingga ke penghujung," katanya.

Selepas berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna, skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang pulang ke tanah air bagi mengharungi perlawanan kedua menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 28 Julai ini.

Seterusnya skuad Harimau Malaya akan ke Bangkok bagi menghadapi perlawanan ketiga menentang skuad Thailand di Stadium Rajamangala, 1 Ogos ini sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8 Ogos ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan