KUALA LUMPUR: Ketiadaan dua penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Haziq Nadzli dalam skuad negara ketika ini membuka peluang besar buat Azri Ghani untuk diberikan peranan sebagai benteng Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN 2026.
Azri yang menjadi antara pemain senior dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun tetap perlu bersaing dengan Rahadiazli Rahalim dan bintang muda, Haziq Aiman Esa untuk merebut posisi itu.
Penjaga gol Negeri Sembilan itu menegaskan, persaingan merebut tempat dalam skuad utama tetap sengit sambil berharap siapa sahaja yang bakal diturunkan perlu memberi aksi terbaik untuk menggalas tanggungjawab itu.
"Sekarang pun antara saya, Rahadazli dan Haziq bersaing dengan cukup bagus. Kami tidak tahu lagi siapa yang akan ambil tempat pertama (diturunkan dalam skuad utama).
"Jadi, saya mengharapkan sesiapa pun yang akan diberi peluang, cuba buat yang terbaik untuk pasukan dan diri sendiri," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Cheng Hoe berdepan situasi sukar dalam menyediakan pasukan bagi menghadapi Piala ASEAN kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga ketika kelab Liga Super baru saja memulakan latihan pramusim untuk menghadapi musim 2026/2027.
Harimau Malaya yang berlepas ke Yangon, hari ini, akan membuka kempen Kumpulan B berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.
Mengulas cabaran menentang Myanmar, Azri mengakui lawan mereka memiliki kelebihan daripada aspek persiapan selepas memulakan latihan lebih awal berbanding skuad negara yang hanya berkumpul ketika kebanyakan pemain baru memulakan pramusim bersama kelab masing-masing.
"Kalau kita tengok, Myanmar pun membuat persiapan dalam tempoh yang sangat lama. Sebelum kami bercuti untuk pramusim pun mereka sudah memulakan latihan.
"Namun, bagi saya, kami boleh bersaing dan berharap rezeki memihak kepada pasukan kebangsaan. Sudah tentu kami mahukan kemenangan untuk bawa pulang tiga mata dan semua pemain harus berikan komitmen 100 peratus di atas padang," katanya.
























