BH Online
Ringkasan Berita

Wan Kuzain tak tolak kemungkinan beraksi dalam Liga M

SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal tidak menolak kemungkinan seandainya peminat akan menyaksikan dia beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada masa hadapan.
Wan Kuzain tak tolak kemungkinan beraksi dalam Liga M

Wan Kuzain menjalani latihan menjelang Piala ASEAN 2026. - Foto FAM

SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal tidak menolak kemungkinan seandainya peminat akan menyaksikan dia beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada masa hadapan.

Tonggak tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menjelaskan, sebagai pemain profesional, dia sedia mempertimbangkan sebarang tawaran daripada mana-mana kelab sekiranya peluang itu hadir.

Wan Kuzain yang menyertai skuad kebangsaan Malaysia buat kali pertama bagi menghadapi kempen Piala ASEAN 2026 menjelaskan perjalanan karier pemain sukar diramal dan dia sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang peluang baharu, termasuk berhijrah ke Liga M.

Pemain berusia 28 tahun itu yang kini beraksi bersama Sporting JAX dalam saingan USL Championship (USLC) berkata, fokus utamanya ketika ini adalah terus memberikan aksi terbaik bersama kelabnya dan pasukan Harimau Malaya.

"Kita tidak pernah tahu. Bola sepak adalah kerjaya yang singkat. Buat masa ini saya gembira beraksi di AS dan sudah hampir 10 tahun membina kerjaya di sana.

"Namun, saya sentiasa terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu. Adik saya (Wan Kuzri) juga banyak berkongsi perkara positif mengenai Liga M," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Wan Kuzain berlepas ke Yangon bersama skuad Harimau Malaya, hari ini bagi mengharungi aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala SEAN berdepan Myanmar, Sabtu ini.

Untuk rekod, Wan Kuzri kini beraksi bersama Negeri Sembilan FC(NSFC) dalam saingan Liga Super selepas menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua Januari lalu, sebelum dipinjamkan kepada pasukan UM Damansara untuk beraksi dalam saingan Liga A1.

Wan Kuzain turut mendedahkan dia sebenarnya pernah mendapat tawaran daripada kelab Liga M sebelum ini, namun memilih untuk meneruskan karier di AS kerana merasakan ia adalah keputusan terbaik pada ketika itu.

"Pernah ada sebelum ini (tawaran dari kelab Liga M). Namun seperti yang saya katakan, ketika ini saya gembira bersama kelab saya di AS. Namun, itu tidak bermakna ia tidak akan berlaku pada masa depan. Jika ada tawaran yang baik, sudah tentu saya akan mempertimbangkannya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan