SEPANG: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal mengakui tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya selepas turut tersenarai dalam skuad yang akan mengharungi kempen Piala ASEAN 2026.
Bintang yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan beraksi bersama kelab Sporting JAX itu termasuk dalam 25 pemain skuad Harimau Malaya yang berlepas ke Yangon, Myanmar bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan B, Sabtu ini.
Tonggak berusia 28 itu berharap detik sukar dan penantian panjang untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dapat memberikan hasil yang baik walaupun sedar skuad kali ini tidak dibarisi ramai tonggak utama Harimau Malaya.
"Semua tahu ia bukan satu perjalanan yang mudah untuk sampai ke tahap ini. Jadi, saya gembira akhirnya dapat berada di sini dan berharap saya dapat membuat penampilan sulung dalam beberapa hari lagi.
"Jadi, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sangat teruja dan tidak sabar. Semuanya baik, saya baru berada di sini beberapa hari, tetapi daripada apa yang saya lihat, ini adalah pasukan yang mempunyai banyak pengalaman dengan beberapa pemain muda.
"Saya sedia mempamerkan prestasi yang baik, menunjukkan kepada negara dan juga kepada diri saya sendiri. Saya sudah menunggu untuk melakukannya selama ini dan akan cuba memberikan segala-galanya di atas padang.
"Anda mempunyai mentaliti bahawa tidak kira jika anda kecil, rendah, kurus atau apa pun keadaannya, anda sentiasa mempunyai peluang. Bagi dunia sukan, tidak kira jika anda menentang Brazil, Argentina, atau sesiapa sahaja, anda sentiasa ada peluang.
"Ia adalah 11 pemain menentang 11 pemain, jadi itulah mentaliti yang saya akan sentiasa bawa dan berjuang hingga ke penghujung," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sejak beberapa tahun lalu, nama Wan Kuzain kerap dikaitkan dengan skuad kebangsaan dan peluang pertamanya untuk mewakili Malaysia hadir pada 2019 apabila dipanggil menyertai skuad bawah 22 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.
Bagaimanapun, masalah dokumentasi berkaitan status kewarganegaraannya menyebabkan beliau tidak dapat didaftarkan untuk kejohanan itu, sekali gus terlepas peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Selepas berdepan Myanmar di Stadium Thuwunna, skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang pulang ke tanah air bagi mengharungi perlawanan kedua menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 28 Julai ini.
Seterusnya skuad Harimau Malaya akan ke Bangkok bagi menghadapi perlawanan ketiga menentang skuad Thailand di Stadium Rajamangala, 1 Ogos ini sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8 Ogos ini.
























