VALENCIA, Sepanyol: Penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala memohon maaf di atas insiden membabitkan pemain tengah Sepanyol, Dani Olmo selepas tamat final Piala Dunia, ketika FIFA masih menjalankan siasatan berhubung pergaduhan yang mencemarkan kemenangan 1-0 Sepanyol.
Rakaman televisyen menunjukkan Ayala berdepan Olmo dalam kekecohan sejurus wisel penamat ditiup pada aksi final Ahad lalu, sebelum FIFA membuka prosiding tatatertib terhadap insiden berkenaan.
"Sudah tentu saya minta maaf. Dengan kedudukan saya, saya tidak boleh membiarkan emosi atau apa sahaja yang saya terima daripada pihak lawan mempengaruhi tindakan saya.
"Bagi saya, kita perlu menutup perkara ini dan bergerak ke hadapan. Ia lebih kepada satu tolakan, bukannya tumbukan seperti yang digambarkan.
"Ia hanyalah reaksi terhadap sesuatu yang dikatakannya, itu sahaja. Jika saya berjumpa dengannya, saya pasti akan memohon maaf secara peribadi," kata Ayala dalam temu bual bersama Valencia Capital Radio.
Bekas pertahanan itu mengakui emosinya menguasai diri ketika ketegangan memuncak selepas tamat perlawanan dan menjelaskan beliau pada awalnya cuba meleraikan pergaduhan antara pemain.
Pemain Argentina, Nahuel Molina dan Thiago Almada, turut terbabit dalam insiden itu apabila rakan sepasukan mereka, Leandro Paredes, mencekik pertahanan Sepanyol, Eric Garcia.
"Apabila perlawanan tamat, saya nampak berlaku pergaduhan di tengah padang dan kami berlari untuk membawa keluar pemain kami.
"Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang saya lakukan. Niat saya hanyalah untuk meleraikan keadaan, tetapi kadang-kadang perkara berlaku ketika emosi sedang memuncak. Itu bukan alasan.
"Eric Garcia juga berada di situ dan saya hanya memberitahunya bahawa saya datang untuk meleraikan pergaduhan serta mengucapkan tahniah kepada mereka, itu sahaja," katanya.
FIFA sebelum ini melantik seorang pendakwa tatatertib dan etika untuk menyiasat pergaduhan selepas perlawanan yang membabitkan pemain serta barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan.
Mereka yang didapati bersalah berdepan kemungkinan digantung perlawanan, manakala Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) turut berdepan risiko dikenakan denda.
























