BH Online
Ringkasan Berita

Vozinha, Haaland terajui Pasukan Impian pilihan peminat

NEW YORK: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, dan penyerang Norway, Erling Haaland mengetuai senarai Pasukan Impian Piala Dunia 2026 yang dipilih peminat selepas kedua-duanya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.
Vozinha, Haaland terajui Pasukan Impian pilihan peminat

Penjaga gol Cape Verde, Vozinha menduduki tempat teratas dalam undian penjaga gol dengan 39.6 peratus. - Foto REUTERS

NEW YORK: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, dan penyerang Norway, Erling Haaland mengetuai senarai Pasukan Impian Piala Dunia 2026 yang dipilih peminat selepas kedua-duanya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

Vozinha menduduki tempat teratas dalam undian penjaga gol dengan 39.6 peratus undian selepas membantu Cape Verde mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia.

Pilihan itu sekali gus mengetepikan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, yang memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas berdasarkan pemilihan Kumpulan Teknikal FIFA.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu, yang kini tidak mempunyai kelab selepas meninggalkan pasukan divisyen kedua Portugal, Chaves, sebelum kejohanan bermula, menyerlah apabila melakukan tujuh penyelamatan ketika Cape Verde mengikat juara dunia Sepanyol tanpa jaringan.

Beliau turut membantu mengheret Argentina ke masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik.

Haaland pula meraih 27.5 peratus undian bagi posisi penyerang selepas mengetuai Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Penyerang Manchester City itu meledak tujuh gol dalam lima penampilan, termasuk dua gol ketika Norway menewaskan juara lima kali, Brazil, 2-1 pada pusingan 16 terbaik sebelum langkah mereka disekat England di suku akhir.

Vozinha dan Haaland melengkapkan senarai bersama beberapa bintang lain seperti Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Jude Bellingham.

Pasukan Impian Piala Dunia 2026 (Undian Peminat FIFA):

Penjaga gol: Vozinha (Cape Verde)

Pertahanan: Pedro Porro (Sepanyol), Lisandro Martinez (Argentina), Dayot Upamecano (Perancis), Marc Cucurella (Sepanyol)

Tengah: Rodri (Sepanyol), Michael Olise (Perancis), Jude Bellingham (England)

Penyerang: Lionel Messi (Argentina), Erling Haaland (Norway), Kylian Mbappe (Perancis)

Video Terkini

Berita Berkaitan