MIAMI: Inter Miami menandatangani pemain tengah Brazil, Casemiro sebagai ejen bebas, namun perpindahan itu kini dibayangi siasatan Major League Soccer (MLS) berhubung dakwaan pelanggaran peraturan perpindahan pemain.
MLS memaklumkan mereka sedang menyiasat dakwaan "pemalsuan" terhadap Inter Miami dan enggan mendedahkan butiran penyelesaian yang dicapai antara kelab itu dengan LA Galaxy berhubung hak ke atas Casemiro sehingga siasatan selesai.
Inter Miami mengesahkan bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu menandatangani kontrak sehingga musim MLS 2027, dengan pilihan lanjutan sehingga Jun 2029.
Bagaimanapun, MLS mengeluarkan kenyataan berasingan yang memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan semua maklumat berkaitan sedang dikumpulkan.
Liga itu turut menjelaskan mereka tidak akan memberikan sebarang komen lanjut sehingga siasatan berakhir.
MLS mengesahkan Inter Miami dan LA Galaxy sudah mencapai persetujuan berhubung hak ke atas Casemiro, namun syarat perjanjian itu hanya akan diumumkan selepas siasatan selesai.
Mengikut peraturan MLS, sesebuah kelab perlu berunding dengan pasukan yang terlebih dahulu mendaftarkan hak terhadap seseorang pemain sebelum pemain itu boleh ditandatangani di luar sistem draf atau ejen bebas.
LA Galaxy sebelum ini memiliki hak terhadap Casemiro sebelum pemain itu memilih menyertai Inter Miami.
MLS tidak menyatakan bentuk hukuman yang mungkin dikenakan atau tempoh siasatan akan diselesaikan.
Dalam kenyataannya, Inter Miami memaklumkan mereka memperoleh hak ke atas Casemiro daripada LA Galaxy sebagai sebahagian daripada urusan perpindahan.
LA Galaxy pula menerusi platform X mengesahkan mereka sudah mencapai persetujuan dengan Inter Miami, namun syarat perjanjian hanya akan diumumkan selepas siasatan MLS selesai.
Reuters sudah menghubungi Inter Miami dan LA Galaxy bagi mendapatkan komen lanjut berkaitan siasatan berkenaan.
Casemiro, 34, memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan tiga kejuaraan LaLiga sepanjang lapan musim bersama Real Madrid sebelum menyertai Manchester United pada tahun 2022.
Bersama United, beliau membantu kelab itu menjulang Piala Liga Inggeris dan Piala FA.
"Apa yang paling memberi motivasi kepada saya, dan saya rasa perkara itu sama bagi setiap pemain, ialah memenangi trofi dan terus berkembang sebagai pemain," kata Casemiro.
Casemiro sudah membuat 91 penampilan bersama Brazil serta membantu negaranya menjuarai Copa America 2019.
Beliau turut beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia dan memulakan kesemua lima perlawanan Brazil pada kejohanan tahun ini sebelum mereka tersingkir pada pusingan 16 terbaik di tangan Norway.
























