KUALA LUMPUR: Di sebalik persiapan yang dilihat ala kadar dan cabaran menghimpunkan pemain yang terbaik untuk menghadapi kempen Piala ASEAN 2026 namun itu tidak boleh dijadikan alasan oleh barisan pemain untuk tidak memperagakan prestasi yang terbaik.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin mengingatkan skuad Harimau Malaya supaya tidak sekadar melengkapkan penyertaan di Piala ASEAN 2026, sebaliknya terus menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi setiap kali menyarung jersi negara.
Menurutnya, tidak kira sama ada pasukan hadir dengan sasaran tinggi atau sekadar memberi pendedahan kepada pemain muda, setiap pemain perlu memahami bahawa mewakili negara adalah satu maruah yang perlu dipertahankan.
"Saya tidak mahu melihat kita acuh tak acuh ketika pertandingan bermula. Apabila menyarung jersi kebangsaan, saya mahu melihat kesungguhan dalam persiapan sehingga hari pertandingan.
"Kita tidak mahu mana-mana pemain sekadar berada dalam pasukan dan tidak menunjukkan semangat juang kerana Harimau Malaya adalah pasukan yang pantang mengalah.
"Walaupun tidak diberikan harapan yang tinggi, saya mahu pemain terus berjuang apabila menentang pasukan terbaik di Asia Tenggara ini," katanya.
Dalam masa sama, Sulaiman turut melihat jurulatih interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap prestasi pasukan kerana skuad yang dipilih adalah berdasarkan penilaiannya sendiri.
"Jika apa-apa berlaku dalam prestasi pasukan ini, kita berharap Tan Cheng Hoe bertanggungjawab juga kerana ini adalah pemain dipilih olehnya.
"Saya berharap pasukan ini dapat memberikan yang terbaik serta menjaga maruah pasukan negara," katanya.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan akan membuka kempen Piala ASEAN 2026 menentang Myanmar di Yangon, Sabtu ini sebelum berdepan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Selasa ini.
Selepas itu, mereka akan berdepan Thailand di Bangkok pada 1 Ogos sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menentang Filipina di laman sendiri, 8 Ogos.
























