BH Online
Ringkasan Berita

Harimau Malaya tak boleh perlekeh Myanmar

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah cabaran Myanmar menjelang aksi pembukaan Piala ASEAN di Yangon Sabtu ini apabila tuan rumah dilihat memiliki keupayaan untuk mencipta kejutan terutamanya ketika skuad negara tidak dibarisi pemain terbaik.
Harimau Malaya tak boleh perlekeh Myanmar

Pemain Harimau Malaya ketika sesi persiapan dan latihan menjelang kempen Piala ASEAN 2026 di UM Arena Stadium. - Bernama

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah cabaran Myanmar menjelang aksi pembukaan Piala ASEAN di Yangon Sabtu ini apabila tuan rumah dilihat memiliki keupayaan untuk mencipta kejutan terutamanya ketika skuad negara tidak dibarisi pemain terbaik.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus mengakui Myanmar menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini dan situasi itu menuntut skuad bimbingan Tan Cheng Hoe supaya lebih berhati-hati dalam merencana strategi.

Bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama dalam kem negara boleh memberi kelebihan kepada Myanmar yang dijangka tampil dengan pendekatan berbeza di hadapan penyokong sendiri.

"Pada saya, Myanmar ada banyak peningkatan sejak kebelakangan ini. Kita perlu berhati-hati dengan strategi mereka. Mungkin kita tak dapat skuad terbaik, tetapi Myanmar mungkin ada kelebihan berbanding kita.

"Jadi, kejutan boleh berlaku dalam persiapan menjelang perlawanan bertemu Myanmar itu. Mungkin kita adalah pilihan tetapi bermain di Yangon berbeza kerana Myanmar mempunyai corak permainan yang lebih fizikal.

"Mereka mungkin cuba menghalang kita daripada menguasai permainan dan lebih bergantung kepada serangan balas serta situasi bola mati," kata Fauzi.

Fauzi berkata, antara kebimbangan utama adalah persiapan skuad negara yang dilihat tidak berada pada tahap terbaik susulan kesukaran mendapatkan pemain utama kerana komitmen bersama kelab masing-masing.

Bagaimanapun, Fauzi tidak bersetuju jika skuad kali ini dilabel sebagai skuad kedua kerana sebahagian besar pemain yang dipanggil sudah mempunyai pengalaman bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.

"Sukar untuk kita katakan ini skuad kedua kerana ada dalam kalangan mereka memang sudah biasa bersama pasukan utama, cuma apa yang membezakan adalah kita tidak mendapat skuad terbaik.

"Jadi, situasi ini memerlukan Cheng Hoe untuk memiliki pelan alternatif bagi memastikan kekuatan pasukan tidak terjejas

"Sudah tentu kita mahukan pemain terbaik tetapi inilah hakikat yang perlu diterima. Sebab itu kita perlu mempunyai kumpulan pemain yang ramai," katanya.

Selepas menentang Myanmar, skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Selasa ini.

Selepas itu, mereka akan berdepan Thailand di Bangkok pada 1 Ogos sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menentang Filipina di laman sendiri, 8 Ogos.

Piala ASEAN

Kumpulan A

Vietnam

Singapura

Indonesia

Kemboja

Timor-Leste

Kumpulan B

Thailand

Malaysia

Filipina

Myanmar

Laos

Jadual perlawanan Malaysia

25 Julai

Myanmar mln Malaysia

Stadium Thuwunna, Yangon, 6 ptg

28 Julai

Malaysia mln Laos

Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 9 mlm

1 Ogos

Thailand mln Malaysia

Stadium Rajamangala, Bangkok, 9 mlm

8 Ogos

Malaysia mln Filipina

Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 9 mlm

Video Terkini

Berita Berkaitan