BH Online
Ringkasan Berita

Wan Kuzain senjata tambahan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal akhirnya menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang kempen Piala ASEAN 2026.
Wan Kuzain senjata tambahan Harimau Malaya

Wan Kuzain menjalani latihan menjelang Piala ASEAN 2026. - Foto FAM

KUALA LUMPUR: Pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal akhirnya menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang kempen Piala ASEAN 2026.

Ia sekali gus menamatkan penantian panjang peminat bola sepak tanah air yang sekian lama menunggu untuk melihat pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi Harimau Malaya.

Kehadiran bintang kelab Sporting JAX itu menjadi antara kekuatan tambahan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe selepas berdepan kesukaran untuk mengumpul barisan pemain terbaik bagi Piala ASEAN yang akan berlangsung pada Jumaat ini hingga 26 Ogos depan.

Sejak beberapa tahun lalu, nama Wan Kuzain kerap dikaitkan dengan skuad kebangsaan yang menyaksikan peminat juga sudah sekian lama menantikan kehadiran pemain itu dalam skuad kebangsaan selepas membina karier profesional di AS.

Peluang pertamanya untuk mewakili Malaysia hadir pada 2019 apabila dipanggil menyertai skuad bawah 22 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.

Bagaimanapun, masalah dokumentasi berkaitan status kewarganegaraannya menyebabkan beliau tidak dapat didaftarkan untuk kejohanan itu, sekali gus terlepas peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Kini, selepas tujuh tahun, kehadiran Wan Kuzain dalam skuad Harimau Malaya boleh dianggap tepat pada masanya ketika pasukan negara tidak dapat menggunakan khidmat beberapa tonggak termasuk Nooa Laine, Afiq Fazail, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rasid.

Cheng Hoe berdepan situasi sukar dalam menyediakan pasukan untuk Piala ASEAN kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga ketika kelab Liga Super 2026/2027 baru sahaja memulakan latihan pramusim.

Bagi bahagian tengah, Harimau Malaya ketika ini memiliki Endrick Dos Santos dan Zhafri Yahya antara pemain senior selain pemain tengah menyerang, Sergio Aguero yang turuy dipanggil Cheng Hoe.

Skuad Harimau Malaya akan membuka saingan Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 28 Julai ini.

Seterusnya skuad Harimau Malaya akan ke Bangkok bagi menghadapi perlawanan ketiga menentang skuad Thailand di Stadium Rajamangala, 1 Ogos ini sebelum melengkapkan aksi menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8 Ogos ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan