KUALA LUMPUR: Penyerang skuad kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak sedia merebut posisi penggempur Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala ASEAN yang akan bermula Jumaat ini hingga 26 Ogos depan.
Pemain berusia 26 tahun yang beraksi bersama kelab Jepun, Vencedor Mie United itu bagaimanapun perlu bersaing dengan penyerang lebih senior seperti Paulo Josue, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad yang turut berada dalam skuad kali ini.
Meskipun baru kali pertama menyertai skuad senior, Hadi mengakui bahawa dia perlu berkerja keras untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi merebut tempat dalam skuad utama.
"Bagi saya, sebagai seorang penyerang saya kena jaringkan gol, itu yang paling penting. Kami ada kem yang panjang dan akan menghadapi beberapa perlawanan, jadi bagi saya apa sahaja boleh berlaku.
"Saya sangat gembira dan bangga berada dalam pasukan ini, saya akan bagi satu saingan yang sangat sengit serta sihat untuk pasukan. Saya akan bagi segala-galanya untuk balas kepercayaan beliau (Cheng Hoe) dan bagi sesuatu untuk negara.
"Ini impian saya untuk bermain buat Malaysia dan ini satu peluang yang sangat baik untuk saya. Jadi, saya kena ambil tanggungjawab ini dan lunaskan dengan sebaik yang mungkin," katanya.
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon, esok bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe kemudian akan terbang pulang ke tanah air bagi mengharungi perlawanan kedua menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 28 Julai ini.
Seterusnya skuad Harimau Malaya akan ke Bangkok, Thailand pula bagi menghadapi perlawanan ketiga menentang skuad Gajah Perang di Stadium Rajamangala sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8 ogos ini.
























