KUALA TERENGGANU: Selepas tiga tahun berhijrah bersama pasukan lain, akhirnya bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah kembali mewarnai skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Pemain naturalisasi kebangsaan itu diikat pihak pengurusan skuad Penyu selama setahun sehingga Mei 2027.
Kehadiran bekas pemain Kuching City FC (KCFC) itu sudah pasti bakal memberikan nilai tambah di posisi serangan skuad kendalian Nafuzi Zain selepas sebelum ini mengekalkan bintang Piala Dunia Curaçao, Gervane Kastaneer, bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Romel Morales dan Victor Ruiz.
"Beraksi di posisi penyerang, pemain itu dijangka menjadi antara aset penting pasukan menerusi pengalaman yang dimiliki serta kemampuannya dalam memperkukuhkan jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga M.
"Kepulangan Mintah diyakini mampu menambah pilihan di bahagian serangan serta memperkukuhkan persiapan pasukan bagi mengharungi saingan musim ini," menurut kenyataan media rasmi kelab itu hari ini.
Berdasarkan rekod, pemain kelahiran Ghana itu mula beraksi dalam saingan Liga M pada 2020 ketika menyarung jersi pasukan 'adik', TFC II selama dua musim sebelum menyertai pasukan utama.
Pada 2022, pemain berketinggian 1.82 meter itu berhijrah bersama kelab Kuala Lumpur City secara pinjaman selama dua musim sebelum menyarung jersi kelab KCFC bermula 2024 sehingga 2026 dengan meledak 15 gol menerusi 25 perlawanan.
























