BH Online
Ringkasan Berita

Pengadil elit EPL umum persaraan

LONDON: Anthony Taylor mengumumkan persaraannya daripada pengadilan bola sepak di peringkat elit semalam selepas mencipta kerjaya cemerlang yang menjangkau lebih dua dekad dengan mengendalikan 831 perlawanan.
Pengadil elit EPL umum persaraan

Anthony Taylor menamatkan kariernya selepas tugasan terakhir pada Piala Dunia 2026 apabila mengadili perlawanan pusingan 16 terbaik antara Portugal dan Sepanyol di Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

LONDON: Anthony Taylor mengumumkan persaraannya daripada pengadilan bola sepak di peringkat elit semalam selepas mencipta kerjaya cemerlang yang menjangkau lebih dua dekad dengan mengendalikan 831 perlawanan.

Pengadil berusia 47 tahun itu menamatkan kariernya selepas tugasan terakhir pada Piala Dunia 2026 apabila mengadili perlawanan pusingan 16 terbaik antara Portugal dan Sepanyol di Amerika Syarikat.

"Mengadili perlawanan di peringkat tertinggi adalah satu penghormatan yang amat besar, namun tekanannya sangat tinggi dan setiap keputusan sentiasa menjadi perhatian.

"Sudah tiba masanya untuk saya berundur dan menantikan cabaran baharu dalam fasa seterusnya kerjaya saya," kata Taylor dalam kenyataan yang disiarkan Liga Perdana Inggeris.

Taylor menghabiskan 16 musim sebagai pengadil Liga Perdana Inggeris dengan mengendalikan 432 perlawanan dalam saingan liga tertinggi England itu.

Beliau turut mengadili semua perlawanan akhir utama domestik termasuk final Piala FA pada tahun 2017 dan 2020, final Piala Liga pada tahun 2015, Perisai Komuniti pada tahun 2015 serta final playoff Kejuaraan pada tahun 2018.

Dianggap antara pengadil terbaik England, Taylor menganggotai Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA selama 14 tahun dan mengadili dua edisi Piala Dunia (2022 dan 2026), dua Kejohanan Eropah (2020 dan 2024) serta dua Piala Dunia Kelab FIFA (2022 dan 2025).

Video Terkini

Berita Berkaitan