BH Online
Ringkasan Berita

Rogers sertai Chelsea, catat rekod perpindahan termahal

LONDON: Chelsea mengesahkan pembelian pemain antarabangsa England, Morgan Rogers daripada Aston Villa menerusi kontrak sehingga tahun 2033, dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai 117 juta pound (RM640 juta) sekali gus menjadikannya pemain Britain paling mahal dalam sejarah.
Rogers sertai Chelsea, catat rekod perpindahan termahal

Morgan Rogers menyertai Chelsea dari Aston Villa dengan rekod perpindahan tertinggi bagi pemain Britain. - Foto REUTERS

LONDON: Chelsea mengesahkan pembelian pemain antarabangsa England, Morgan Rogers daripada Aston Villa menerusi kontrak sehingga tahun 2033, dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai 117 juta pound (RM640 juta) sekali gus menjadikannya pemain Britain paling mahal dalam sejarah.

Kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris itu tidak mendedahkan nilai perpindahan, namun Sky Sports melaporkan jumlah keseluruhan urus niaga itu mengatasi rekod 116 juta pound (RM634 juta) yang dibayar Manchester City kepada Nottingham Forest bagi mendapatkan Elliot Anderson awal bulan ini.

Rogers turut mengatasi rekod perpindahan Chelsea sebelum ini apabila kelab London itu membayar 115 juta pound (RM629 juta) untuk mendapatkan Moises Caicedo daripada Brighton pada tahun 2023.

"Saya sangat teruja.

"Bagi saya, Chelsea adalah kelab terbesar di London dan sebuah kelab yang saya kagumi sejak kecil.

"Saya juga teruja dengan projek bersama pengendali baharu, barisan pemain yang dimiliki serta hala tuju kelab. Itulah sebabnya saya berada di sini dan saya tidak sabar untuk memulakannya," kata Rogers.

Pemain berusia 23 tahun itu yang mampu beraksi di sayap atau sebagai pemain tengah menyerang meninggalkan Villa selepas dua tahun bersama kelab berkenaan.

Beliau membantu Villa muncul juara Liga Europa pada Mei lalu dengan turut menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Freiburg pada final, sekali gus menghadiahkan trofi utama Eropah pertama kepada kelab itu sejak tahun 1982.

Rogers menjaringkan 31 gol dalam 125 penampilan bersama Villa selepas menyertai kelab itu dari Middlesbrough pada tahun 2024 dan membuat penampilan sulung bersama England pada tahun sama.

Beliau beraksi dalam tujuh daripada lapan perlawanan England ketika mereka menamatkan kempen Piala Dunia di tempat ketiga.

Rogers turut menikmati musim domestik terbaiknya apabila meledak 10 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Chelsea yang menamatkan musim lalu di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris akan memulakan kempen baharu dengan aksi di laman Fulham pada 24 Ogos.

Video Terkini

Berita Berkaitan