SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa beraksi pada sebelah petang pada perlawanan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2026/27, susulan kerja-kerja menaik taraf sistem lampu limpah yang sedang dilaksanakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) , Paroi, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, kelab mengambil maklum dengan jadual rasmi Liga Super yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di mana semua perlawanan membabitkan Negeri Sembilan FC di STAR dijadualkan berlangsung pada jam 4.45 atau 5 petang.
Katanya, penetapan waktu ini adalah susulan kerja menaik taraf sistem lampu limpah STAR bagi memenuhi spesifikasi MFL untuk penganjuran perlawanan pada waktu malam serta piawaian bertaraf antarabangsa.
"Kami ambil maklum dengan perubahan waktu perlawanan itu walaupun terdapat kalangan penyokong yang mungkin kurang berpuas hati.
"Mengikut perancangan semasa, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mac 2027. Walaupun aksi berlangsung pada waktu petang, kami berharap penyokong Hobin Jang Hobin terus hadir memenuhi stadium dan memberikan sokongan padu kepada Negeri Sembilan FC sepanjang saingan musim ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Faliq, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Seremban dan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mempercepatkan proses naik taraf berkenaan.
Katanya, sejurus STAR Paroi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, pihak kelab akan mengemukakan permohonan kepada MFL untuk mengembalikan baki perlawanan musim baharu nanti ke sepak mula pada waktu malam.
"Kami berharap penyokong pasukan dapat memahami situasi yang berlaku dan amat menghargai kesabaran serta kefahaman semua penyokong sepanjang tempoh ini," katanya.
























