KUALA TERENGGANU: Bukan lagi spekulasi sebaliknya penyerang kebangsaan, Romel Morales sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/27.
Kehadiran pemain itu pastinya bakal menambah lagi sengat jentera serangan skuad kendalian Nafuzi Zain dan dia dijangka bergandingan dengan penyerang skuad Piala Dunia 2026 Curacao, Gervane Kastaneer.
Pemain naturalisasi berusia 29 tahun yang menyarung jersi kelab gergasi Liga M, Johor Darul Ta'zim (JDT) musim lalu adalah antara watak penting skuad negara dalam saingan Piala Asia 2023 dan dia 'dirantai' selama semusim sehingga Mei 2027 dengan memakai jersi bernombor 19.
"TFC terus memperkukuhkan persiapan bagi menghadapi saingan Liga M musim baharu selepas mengesahkan kehadiran penyerang naturalisasi negara, Morales yang telah menandatangani kontrak selama semusim bersama pasukan.
"Kehadirannya mencerminkan komitmen berterusan kelab dalam memperkasakan barisan pemain dengan gabungan pengalaman, kualiti serta karakter yang mampu memberikan impak positif di padang.
"Sebagai antara penyerang yang berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa, Morales dijangka menjadi aset penting dalam memperkukuhkan jentera serangan pasukan sekali gus membantu pasukan merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan sepanjang musim ini.
"Harap pemain itu mampu memberikan sumbangan terbaik demi kejayaan pasukan sepanjang musim 2026/2027," demikian menurut kenyataan media rasmi kelab itu hari ini.
Berdasarkan rekod, pemain kelahiran Colombia itu mula beraksi dalam Liga M ketika menyarung jersi pasukan PKNS selama dua musim bermula 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2020.
Bermula 2021 sehingga 2023, pemain berketinggian 1.87 meter itu menjadi senjata pemusnah pasukan Kuala Lumpur City FC selepas meledak 18 jaringan menerusi 60 penampilan sebelum diumumkan sebagai pemain naturalisasi pada Disember 2023.
Musim 2024, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Argentina, River Plate itu mengubah haluan bersama kelab JDT sehingga musim 2025/2026 dan berjaya menjaringkan 10 gol menerusi 19 penampilannya bersama kelab gergasi Liga M itu.
Sepanjang 14 penampilannya bersama skuad Harimau Malaya, pemain itu berjaya menjaringkan empat gol termasuk di pentas Piala Asia 2023 dengan meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan.
























