KUALA LUMPUR: Saingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun (B-14) 2026 dengan rakan strategik 100PLUS semakin menghampiri kemuncak apabila aksi semalam memperlihatkan beberapa keputusan penting bagi menentukan kedudukan pasukan dalam saingan peringkat kumpulan dimana tiga pasukan; SMK Seri Titiwangsa, SMK Shah Alam, dan SMK Taman Desa Skudai mengesahkan slot ke suku akhir.
Saingan Kumpulan B menyaksikan pelawat, SMK Seri Titiwangsa meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan SMK Taman Desa Skudai B14 B 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.
Mazazayyan Mahdi muncul wira apabila meledak dua gol dan satu lagi gol dijaringkan Muhd Zill Zulkarnain Mohd Zamri sementara gol tunggal tuan rumah dijaringkan G R Yohgiin.
Pembantu Jurulatih SMK Seri Titiwangsa, Mohd Norfaizal Alias berkata pasukannya menjadi selepas lawan menjaringkan gol namun pemain bangkit mengatasi situasi itu dengan bimbingan jurulatih.
"Memang satu kelegaan yang besar kerana kita menang kesemua tiga perlawanan dan berbaki satu lagi jadi kita sudah ada kelebihan mata."
SMK Seri Titiwangsa mengesahkan tempat ke suku akhir dengan sembilan mata sementara SMK Taman Desa Skudai B14 B, SMK Seksyen 11 dan SMK Putrajaya Presint 8(1) masing-masing mengumpul tiga mata, manakala SMK Mutiara masih tanpa sebarang mata.
Sementara itu, di Kluang, juara bertahan, SMK Taman Desa Skudai turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas mendominasi Kumpulan C.
Skuad kendalian Rodolfo Pereda Villa membelasah SMK Tun Hussien Onn 4-0 untuk kemenangan keempat berturut-turut.
M Hadif Mursi Mohd Hafidz muncul wira apabila meledak dua gol manakala Muhd Shahin Amsyar Muhd Safarizan dan Muhd Aqil Khalish Shaifulbahari turut mencatat nama selaku penjaring.
"Walaupun kami hanya bolos satu gol, bagi saya itu hanyalah angka. Sebenarnya kami boleh sahaja dibolosi tiga atau empat gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini jika tidak lebih berhati-hati.
"Dari aspek pertahanan dan serangan, kami masih boleh menjadi lebih baik. Kami juga percaya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Fokus kami sekarang adalah untuk terus meningkatkan prestasi menjelang suku akhir," kata Rodolfo.
Satu lagi perlawanan Kumpulan C menyaksikan SMK Seri Kota mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SSTMI, sekali gus melonjak ke tangga kedua dengan sembilan mata.
SMK Seri Kota kini berada di landasan terbaik untuk melangkah ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.
Dalam aksi lain kumpulan yang sama, SMK Zaba menewaskan SMK Datuk Peter Mojuntin 1-0 untuk mengumpul lima mata namun masih perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir bagi menentukan peluang mereka meneruskan cabaran.
Kedudukan semasa Kumpulan C, SMK Taman Desa Skudai mengungguli carta dengan 12 mata diikuti SMK Seri Kota (9 mata), SSTMI (7 mata), SMK Zaba (5 mata), SMK Tun Hussien Onn (4 mata), SMK Datuk Peter Mojuntin (2 mata) dan Akademi Mokhtar Dahari B13 (1 mata).
Kumpulan A, SMK Shah Alam terus membuktikan status sebagai antara pencabar utama kejohanan apabila menewaskan pendahulu terdahulu, SMK Mutiara Impian 2-0 untuk kemenangan keempat berturut turut.
Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan SMK Syed Hassan dan SMK Gunung Rapat berkongsi mata selepas seri 1-1.
Sementara itu, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas SMK Tabuan Jaya untuk mengumpul tujuh mata dan terus menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
Selepas aksi semalam, kedudukan Kumpulan A menyaksikan SMK Shah Alam mendahului dengan 12 mata diikuti SMK Mutiara Impian (10 mata), manakala SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, SMK Syed Hassan dan SMK Gunung Rapat masing-masing mengumpul tujuh mata dalam persaingan sengit memburu slot suku akhir.
Persaingan Kumpulan D pula menyaksikan SMK Putera mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas SMK Bukit Nenas.
Keputusan itu membawa SMK Putera ke tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, mengatasi Akademi Mokhtar Dahari B14 yang mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.
Keputusan ini menjadikan perebutan slot kedua ke suku akhir semakin menarik menjelang aksi terakhir.
























