KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) berhasrat mengambil pemain peringkat Asia sebaik bebas sekatan perpindahan pemain bagi memperkuat jentera menghadapi Liga Super 2026/27.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pemain Asia dijangka mengisi posisi penyerang dan penjaga gol.
Katanya, pihaknya yakin pasukan dapat menyelesaikan isu sekatan perpindahan pemain secepat mungkin sebelum sepak mula liga super pada 18 Ogos ini.
"Kami ada perancangan, ketua jurulatih dan pengurusan juga ada buat penilaian pemain-pemain yang sesuai dengan kami, import kami mungkin peringkat ASEAN, Asia," katanya ketika katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengenalan Penaja KRW FC musim 2026/27 di Royal Guest House, di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata pihaknya sudah menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada pihak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan yakin keputusan yang adil akan diperoleh pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.
Terdahulu pasukan Liga A1 Semi-Pro itu berdepan tujuh sekatan oleh FIFA berhubung isu tunggakan gaji oleh lima pemain import dan dua jurulatih Korea bagi pasukan Kelantan FC.
KRW terpalit isu itu susulan kekeliruan pasukan yang dikaitkan dengan Kelantan FC dengan penggunaan nama dan logo yang seakan sama.
"Kami juga mempunyai beberapa pendekatan lain seperti perbincangan dengan pihak tertentu selain sudah mempersiap dokumen perundangan untuk pastikan isu ini (sekatan pemain) dapat diselesaikan," katanya.
Dalam perkembangan sama, KRW melangkah ke Liga Super dengan 'poket' selesa selepas mendapat 23 penaja terutamanya dalam kalangan usahawan Kelantan.
























