KUALA TERENGGANU: Penyerang kebangsaan, Romel Morales kini berada dalam radar Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pemain naturalisasi berusia 29 tahun itu bakal menjadi tonggak pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Insya-Allah jika semua proses berjalan dengan lancar, penyerang kebangsaan itu bakal menjadi tonggak terbaharu TFC dalam mengharungi saingan Liga M musim baharu nanti.
"Pemain JDT yang berpengalaman luas dalam kancah Liga M itu kerana mula beraksi sejak 2018 bakal bergelar pemain pinjaman TFC.
"Saya pasti peminat bagaikan tidak sabar untuk menyaksikan penampilan sulung pemain itu bersama TFC, jika tiada perubahan, keputusan muktamad bakal diketahui selewat-lewatnya pada awal bulan Ogos ini," ujar sumber itu.
Berdasarkan rekod, pemain kelahiran Colombia itu mula beraksi dalam Liga M ketika menyarung jersi pasukan PKNS selama dua musim bermula 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2020.
Bermula 2021 sehingga 2023, pemain berketinggian 1.87 meter itu menjadi senjata pemusnah pasukan Kuala Lumpur City FC selepas meledak 18 jaringan menerusi 60 penampilan sebelum diumumkan sebagai pemain naturalisasi pada Disember 2023.
Musim 2024, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Argentina, River Plate itu berkelana bersama kelab JDT sehingga musim 2025/2026 dan berjaya menjaringkan 10 gol menerusi 19 penampilannya bersama kelab gergasi Liga M itu.
Sepanjang 14 penampilannya bersama skuad Harimau Malaya, pemain itu berjaya menjaringkan empat gol termasuk di pentas Piala Asia 2023 dengan meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan.
Kehadiran pemain itu bakal menambah sengat bahagian serangan TFCÂ dan dia dijangka bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain import.
























