KUANTAN: Misi menebus kekalahan sebelum ini digalas pemain Pahang Rangers FC pada pertemuan dengan Selangor FC dalam perlawanan pertama sirkit keenam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Selangor, esok.
Pada pertemuan Tok Gajah dengan Merah Kuning di sirkit keempat di Stadium Tertutup SUKPA, bulan lalu, skuad bimbang jurulatih, Eloy Alonso Fraile tewas 3-5.
Menurut Fraile, kemenangan pada dua perlawanan sirkit keenam bertemu Selangor dan Terengganu amat penting dalam usaha pasukan berada pada kedudukan terbaik seterusnya membuka peluang menjulang kejuaraan liga musim ini.
Katanya, pertemuan dengan Selangor malam esok begitu mencabar yang memerlukan kesungguhan dan semangat tinggi dipamerkan pemain dalam usaha menebus kekalahan sebelum ini yang begitu pedih untuk diterima.
"Saya yakin barisan pemain Pahang Rangers mampu melakukan kejutan terhadap Selangor walaupun tuan rumah berkelebihan bermain di gelanggang sendiri sambil mendapat sokongan peminat setia mereka.
"Untuk meraih kejayaan pemain Pahang Rangers tidak boleh terlalu banyak melakukan kesilapan selain dapat mengawal pergerakan pemain lawan, pemain Selangor pasti berusaha memburu jaringan seawal permainan sambil membentuk pertahanan yang kuat," katanya, di sini hari ini.
























