BH Online
Ringkasan Berita

Habib kembali warnai skuad Penyu

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Terengganu FC (TFC), Habib Haroon kembali mewarnai skuad itu musim 2026/2027 selepas diumumkan sebagai tenaga import keempat pasukan itu hari ini.
Habib kembali warnai skuad Penyu

Habib Haroon (kanan) kembali mewarnai Terengganu FC musim 2026/2027. - Foto NSTP/ Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Terengganu FC (TFC), Habib Haroon kembali mewarnai skuad itu musim 2026/2027 selepas diumumkan sebagai tenaga import keempat pasukan itu hari ini.

Terdahulu TFC sudah mengumumkan kepulangan Manuel Ott selain mengekalkan bintang Piala Dunia 2026, Gervane Kastaneer serta membawa masuk bekas pemain Imigresen FC, Elvis Kamsoba sebentar tadi.

Kehadiran semula 'arkitek' kelahiran Bahrain itu dilihat mampu memberikan nafas baharu baharu buat skuad kendalian bekas jurulatih skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Nafuzi Zain.

Pemain yang memulakan kariernya bersama kelab Al- Riffa dalam Liga Bahrain itu diikat kontrak selama semusim.

Habib, 26 mendedahkan keputusannya kembali semula menyarung jersi TFC disebabkan faktor jurulatih skuad itu yang sifatkan sebagai bapa.

"Nafuzi bagaikan bapa kepada saya, lagipun kami ada sejarah bersama, jika bukan kerana jurulatih itu, mungkin saya tidak akan kembali beraksi di Malaysia.

"Kepulangan kali kedua ini sudah pasti ada misinya yang tersendiri iaitu saya mahu mencipta sejarah sekali lagi bersama skuad ini.

"Lagipun peminat setia pasukan ini sudah mengenali saya, ia bagaikan keluarga saya, harap peminat terus memberikan sokongan padu kepada pasukan," ujar Habib yang beraksi bersama pasukan jiran, Kelantan TRW pada musim 2025/2026.

Habib tidak asing lagi buat penyokong skuad Penyu itu kerana pernah menyarung jersi TFC pada musim 2021 sehingga 2023 bawah kendalian Nafuzi sebelum berhijrah bersama Kedah Darul Aman FC.

Sepanjang 53 penampilannya bersama TFC, pemain tengah bertahan itu berjaya menjaringkan tiga gol selain membantu pasukan itu mara ke pentas final Piala Malaysia dan Piala FA selain muncul naib juara Liga Super.

Video Terkini

Berita Berkaitan