KUALA TERENGGANU: Bekas pemain kebangsaan Burundi, Elvis Kamsoba diumumkan sebagai pemain import ketiga Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Bekas pemain Imigresen FC musim 2025/2026 berusia 30 tahun itu 'dirantai' selama semusim oleh pihak pengurusan kelab dari Pantai Timur itu.
"TFC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Elvis Kamsoba yang bakal memperkuatkan skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
"Bekas pemain kebangsaan Burundi yang beraksi di posisi sayap itu menandatangani kontrak selama semusim bersama TFC dan dijangka menjadi antara pilihan utama dalam memperkukuhkan jentera serangan buat pasukan.
"Dengan kehadiran pemain yang pernah beraksi bersama 11 kelab berbeza itu diharapkan dapat membantu pasukan mara lebih jauh lagi dalam saingan Liga M musim ini," demikian menurut kenyataan media kelab itu hari ini.
Sementara itu Kamsoba meluahkan nada gembira kerana diberi peluang oleh pihak pengurusan dan kejurulatihan TFC untuk menyarung jersi pasukan itu.
"Terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan kerana memberikan peluang kepada saya menyarung jersi TFC pada musim baharu nanti.
"Tekad saya untuk memberikan komitmen sepenuhnya, bekerja keras dalam setiap sesi latihan dan perlawanan selain berharap dapat memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan sepanjang musim ini," kata Kamsoba.
Sebelum ini TFC mengumumkan kepulangan semula bekas pemain importnya kelahiran Jerman, Manuel Ott selain mengekalkan bintang Piala Dunia Curacao 2026, Gervane Kastaneer.
























