KUALA TERENGGANU: Desas-desus yang mengaitkan 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Careca bakal meninggalkan skuad itu akhirnya terjawab apabila pemain kelahiran Brazil itu tidak lagi bersama skuad itu musim 2026/2027.
Selain Careca yang menjadi nadi jentera tengah skuad Penyu musim lalu, turut tidak berada dalam senarai pasukan adalah pemain pertahanan, Diego Landis dan penyerang kelahiran Perancis, Yan Mabella.
Kontrak tiga pemain import itu sebelum ini dimaklumkan akan disambung selepas beraksi cemerlang ketika membantu TFC menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima pada musim lepas.
Turut dilepaskan bekas pemain sayap lincah kebangsaan, Akhyar Rashid yang dikatakan bakal beraksi bersama Negeri Sembilan FC.
Namun paling mengejutkan dua tonggak dari Tajikistan, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev yang juga tidak berada dalam skuad kendalian Nafuzi Zain biarpun kontraknya masih berbaki sehingga akhir tahun ini.
Menerusi kenyataan media rasmi kelab itu sebentar tadi, seramai 17 pemain musim 2025/2026 dilepaskan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu nanti.
"Pemain import yang tidak akan bersama pasukan bagi musim baharu nanti ialah Careca , Landis, Junior Sam, Ehson, Shervoni, Mabella dan pemain kelahiran Myanmar, Min Oo.
"Turut dilepaskan pemain tempatan iaitu Hairey Hakim, Saiful Jamaluddin, Khalaif Naskam, Syahmi Zamri, Azziq Zahazani, Nazul Izamil, Akram Mahinan, Baqiuddin Shamsudin, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Haqimi Azim kerana sudah tamat kontrak.
"Namun beberapa pemain yang masih ada kontrak iaitu Engku Shakir, Syahmi Zamri, Ehson dan Shervoni telah ditamatkan atas persetujuan bersama kerana kebanyakannya memohon untuk keluar bagi menyertai pasukan baharu, pada masa yang sama, Akhyar yang masih berbaki kontrak juga akan dipinjamkan ke pasukan lain sehingga tamat saingan musim ini.
"Kelab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain yang meninggalkan pasukan atas segala komitmen, dedikasi dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang bersama kelab," demikian menurut kenyataan media kelab itu hari ini.
























