KUALA TERENGGANU: Spekulasi yang mengaitkan pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid bakal 'angkat kaki' meninggalkan skuad itu kini semakin hangat berlegar dalam laman sosial.
Ada mengaitkan bekas pemain kebangsaan itu berhijrah ke Negeri Sembilan FC (NSFC) dan membayangkan pemain itu mengikut jejak bekas pemain TFC, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob ke Star City FC (SCFC).
Namun setakat ini belum ada keputusan secara rasmi daripada pengurusan kelab dari Terengganu itu mengenai status terkini pemain berkenaan.
Mengulas perkara itu, menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pihaknya ada menerima permohonan daripada NSFC bagi membolehkan pemain berusia 27 tahun itu beraksi bersama skuad itu.
"Ya pihak kami ada menerima permohonan daripada kelab NSFC untuk mendapatkan khidmat pemain itu (Akhyar) secara pinjaman kerana kontraknya masih berbaki sehingga 2027.
"Namun setakat ini pihak kami belum membuat keputusan muktamad sama ada melepaskan pemain itu ataupun sebaliknya kerana belum lagi bermesyuarat bersama presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Mungkin keputusan muktamad dapat diputuskan selewat-lewatnya pada minggu depan, namun ia juga bergantung kepada beberapa faktor," kata sumber itu kepada NSTP.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, perkara berkenaan juga bergantung kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain.
"Jika jurulatih mahukan khidmat dia (Akhyar), mungkin kami tidak lepaskan biarpun secara pinjaman kerana dia masih berbaki kontrak dengan TFC sehingga tahun depan," katanya.
Difahamkan bekas pemain Harimau Malaya yang mula menyarung jersi TFC sejak 2024 memilih NSFC dan bukannya SCFC kerana mahu berdekatan dengan keluarganya.
























