KUALA LUMPUR: Bahagian serangan Penang FC dijangka lebih 'berbisa' berbanding musim lalu yang dilihat agak 'lemau' apabila mereka berjaya mendapatkan khidmat penyerang Harimau Malaya, Haqimi Azim Rosli bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Bagi Haqimi, peluang yang diberikan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar kehadirannya bersama Harimau Kumbang mampu memberikan impak positif kepada pasukan.
"Saya percaya setiap jersi yang dipakai membawa harapan ramai. Kini giliran saya untuk membalas kepercayaan itu dengan kerja keras dan prestasi di atas padang," katanya.
Musim lalu, pemain berusia 23 tahun itu beraksi bersama Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.
Pengalaman bersama dua pasukan elit itu dijangka mampu membantu Penang FC bersaing dalam kelompok atasan Liga M.
Untuk rekod, Haqimi menyertai Penang FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selama semusim bagi menghadapi kempen 2026/2027.
"Penang FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran Haqimi Azim Rosli sebagai sebahagian daripada skuad Harimau Kumbang bagi musim 2026/2027.
"Penyerang muda kebangsaan ini menyertai Penang FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim FC selama satu musim," kata kelab itu dalam satu kenyataan rasmi.
Kehadiran Haqimi juga dijangka membantunya mendapatkan semula tahap prestasi terbaik, terutama dengan peluang beraksi lebih kerap selepas ini.
Sebelum ini, jurulatih Penang FC mengakui kelemahan utama pasukan pada musim lalu adalah ketumpulan jentera serangan.
Dalam kebanyakan perlawanan, Penang FC berjaya mencipta peluang untuk menjaringkan gol, namun kegagalan menyudahkannya menyebabkan mereka dihukum pihak lawan sebelum terpaksa berpuas hati dengan kekalahan atau keputusan seri.
























