KUALA TERENGGANU: Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Haziq Kutty Abba sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Bekas pemain tengah bertahan Penang FC itu diperkenalkan secara rasmi kepada peminat setia skuad Penyu melalui media sosial sebentar tadi.
Menerusi kenyataan media itu, Haziq yang juga adik kepada pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty 'dirantai' selama semusim.
Pemain itu tidak asing lagi dengan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain kerana sebelum ini dia pernah 'berguru' dengan jurulatih itu ketika mewakili skuad B-23.
"Sukacitanya dimaklumkan bekas pemain tengah bertahan Penang FC itu sah menjadi milik skuad TFC dalam mengharungi saingan Liga M musim baharu nanti.
"Pemain berusia 22 tahun kelahiran Pulau Pinang itu diikat kontrak selama semusim bermula 1 Julai 2026 sehingga 31 Mei 2027.
"Kami harapkan dengan kehadiran pemain itu, jentera tengah pasukan akan lebih mantap selain ketua jurulatih mempunyai banyak pilihan untuk menyenaraikan pemain dalam kesebelasan utama pasukan," demikian menurut kenyataan media kelab itu.
Sebelum ini skuad yang diberi nafas baharu itu sudah 'merekrut' bekas pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham dan 'arkitek' kelahiran Munich, Jerman, Manuel Ott.
Difahamkan skuad itu bakal memperkenalkan dua lagi tonggak import iaitu Habib Haroon dari Bahrain dan Elvis Kamsoba dari Burundi dalam masa terdekat.
























