BH Online
Ringkasan Berita

Habib,Kamsoba dalam radar TFC

KUALA TERENGGANU: Bekas 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Habib Haroon hampir pasti kembali menyertai pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Habib,Kamsoba dalam radar TFC

Habib (kiri) dan Kamsoba.

KUALA TERENGGANU: Bekas 'arkitek' Terengganu FC (TFC), Habib Haroon hampir pasti kembali menyertai pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Selain pemain kelahiran Manana, Bahrain itu, turut berada dalam radar skuad kendalian Nafuzi Zain ialah bekas pemain sayap Imigresen FC, Elvis Kamsoba.

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), rundingan dengan kedua-dua pemain itu kini mencapai persetujuan positif dan hanya menunggu masa untuk diumumkan sekiranya proses penilaian selesai.

"Setakat ini proses untuk membawa kembali bekas pemain skuad Penyu (Habib) berjalan dengan lancar dan positif.

"Begitu juga dengan bekas pemain import Imigresen FC kelahiran Burundi itu, jika semuanya selesai dan tiada perubahan pada saat akhir, pihak pengurusan TFC akan mengumumkan secara rasmi nama dua pemain itu dalam masa terdekat," katanya.

Habib bukan nama asing dalam bola sepak Terengganu dan tempatan kerana dia pernah menyarung jersi skuad Penyu pada tahun 2021 hingga 2023 bawah kendalian Nafuzi.

Setahun kemudian, pemain berusia 26 tahun itu menyertai Kedah Darul Aman dan pada musim lalu pemain tengah bertahan itu menyarung jersi skuad jiran, Kelantan TRW.

Terdahulu TFC mengumumkan kepulangan semula bekas tonggak importnya dari Filipina, Manuel Ott bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Difahamkan pemain pertahanan import juga menjadi buruan skuad itu selepas hasrat untuk mengekalkan bekas pemain musim 2025/2026, Diego Landis tidak tercapai.

Video Terkini

Berita Berkaitan