KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) menyerahkan keputusan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status kelab berkenaan sama ada layak atau tidak ke saingan Liga Super musim depan.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya enggan mengambil pendekatan terburu-buru kerana yakin MFL akan membuat keputusan tepat mengenai kelab mana yang bakal memenuhi kuota terakhir.
"Sekiranya kami diberikan kepercayaan mengisi slot ke Liga Super, bukan perkara yang mengejutkan kerana kehadiran kami berasaskan merit dan pencapaian atas padang.
"KRW sudah memberikan komitmen sepenuhnya, berkorban dan berusaha sedaya upaya sepanjang saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu dengan matlamat jelas iaitu memperoleh peluang untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara," katanya.
Muhamad Zaki berkata, impian beraksi di Liga Super bukan hanya impian pengurusan dan pemain, tetapi harapan seluruh penyokong setia dan rakyat Kelantan.
Semalam MFL mengumumkan 12 kelab akan berentap pada saingan musim 2026/27 dengan satu lagi slot akan ditentukan selepas First Instance Body (FIB) bersidang pada 16 Julai ini bagi memutuskan status PDRM FC.
Sekiranya PDRM gagal memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan, slot terakhir Liga Super dijangka diberikan kepada KRW.
























