BH Online
Ringkasan Berita

Selangor, Fortes berpisah

KUALA LUMPUR: Selepas dua musim bersama Selangor FC, pemain sayap dari Cape Verde, Alvin Fortes secara rasmi akan berpisah dengan Red Giants dan ia satu kehilangan cukup besar buat kelab itu.
Selangor, Fortes berpisah

Fortes meninggalkan Selangor selepas dua musim.

KUALA LUMPUR: Selepas dua musim bersama Selangor FC, pemain sayap dari Cape Verde, Alvin Fortes secara rasmi akan berpisah dengan Red Giants dan ia satu kehilangan cukup besar buat kelab itu.

Menerusi kenyataan rasmi Selangor FC, kehadiran Fortes dalam pasukan banyak membantu mereka terutama di bahagian serangan. Sepanjang bersama kelab dari Lembah Klang itu, dia berjaya menjaringkan 33 gol dan mencipta 17 bantuan gol daripada 79 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai.

"Sejak awal, Fortes menjadi antara pilihan utama dalam jentera serangan serta salah satu sumber gol dan kreativiti paling konsisten pasukan.

"Dia turut mencipta rekod tersendiri pada musim 2024/25 apabila menjadi satu-satunya pemain dalam skuad yang menjaringkan gol dalam kesemua lima kejohanan utama iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran dan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II), sekali gus membuktikan tahap konsistensi serta impaknya di pelbagai pentas.

"Malah, dia membantu pasukan mara ke pentas akhir Piala FA serta memainkan peranan dalam kejayaan menjuarai Piala Cabaran," menurut kenyataan rasmi kelab berkenaan.

Selain itu, pemain berusia 32 tahun itu terus membuktikan dirinya sememangnya antara tonggak penting pasukan apabila membantu Selangor FC menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Super selama dua musim berturut-turut, sekali gus layak beraksi dalam ACL II (2024/25 dan 2025/26) serta Piala Shopee (2025/26).

Di pentas antarabangsa, Fortes kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Cape Verde pada 2025 bagi beberapa perlawanan persahabatan, sekali gus menandakan kepulangannya ke peringkat antarabangsa selepas kali terakhir mewakili negara itu pada 2018.

Prestasinya bersama Selangor FC menjadi antara faktor utama yang membuka semula pintu ke skuad kebangsaan.

"Fortes akan dikenang sebagai pemain yang sentiasa memberi ancaman di bahagian sayap, membawa keceriaan kepada penyokong menerusi jaringan, bantuan gol serta gaya permainan menyerang yang menghiburkan. Aksinya di atas padang menjadikannya antara senjata serangan paling berbahaya Selangor FC sepanjang bersama kelab," katanya.

Dalam perkembangan sama, selain Fortes, Selangor FC turut mengumumkan perpisahan bersama 11 pemain dan dengan keputusan itu, masing-masing akan membawa haluan berbeza selepas ini.

Antara pemain yang tidak lagi bersama Red Giants adalah Mamadou Diarra, Samuel Somerville, Mohammad Abualnadi, Fazly Mazlan, Kim Ji-ho, Jeon Seung-min, Harry Danish, Mahame Siby, Raimi Shamsul, Picha Autra dan Omid Musawi.

Video Terkini

Berita Berkaitan