KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama bergantung kepada pelbagai venue latihan, skuad Harimau Malaya akhirnya bakal memiliki 'rumah sendiri' apabila Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Presint 5, Putrajaya siap sepenuhnya bagi Fasa 1.
Kemudahan bertaraf antarabangsa itu dijangka menjadi pangkalan rasmi skuad kebangsaan terutamanya menjelang saingan Piala ASEAN FIFA 2026 pada September depan sekali gus menandakan permulaan era baharu buat bola sepak negara.
Bagi sebuah pasukan yang pernah berlatih di pelbagai lokasi mengikut kesesuaian jadual dan ketersediaan fasiliti, kewujudan NTC dianggap sebagai langkah besar dalam usaha mewujudkan ekosistem latihan yang lebih profesional dan tersusun.
Fasa pertama projek bernilai RM69 juta itu membabitkan pembinaan tiga padang latihan dengan permukaan rumput berbeza iaitu Bermuda, hibrid dan sintetik bagi memenuhi keperluan latihan moden serta standard antarabangsa.
Lebih membanggakan, pembangunan awal projek itu direalisasikan menerusi dana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah kira kira RM24 juta (AS$5.2 juta).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kemudahan berkenaan kini bersedia untuk digunakan skuad kebangsaan dalam menghadapi tugasan antarabangsa yang semakin mencabar.
Menurutnya, NTC bukan sekadar menyediakan padang latihan baharu, malah menjadi simbol kesungguhan FAM untuk membina asas pembangunan bola sepak negara secara lebih mampan.
"Kita menjangkakan skuad Harimau Malaya akan mula menggunakan kemudahan ini terutama sebagai persiapan menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026.
"Ini adalah antara projek penting yang akan membantu meningkatkan kualiti persediaan pasukan kebangsaan pada masa depan," katanya, ketika ditemui, di sini.
Kewujudan pusat latihan itu turut memberi kelebihan besar kepada skuad kebangsaan yang kini boleh menjalani latihan dalam persekitaran yang lebih terkawal tanpa perlu berpindah randah dari satu venue ke venue lain.
Malah, kepelbagaian jenis padang yang disediakan membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan pelbagai permukaan yang sering digunakan dalam kejohanan antarabangsa.
NTC juga dilihat sebagai legasi jangka panjang yang bukan hanya memberi manfaat kepada Harimau Malaya, malah bakal menjadi pusat pembangunan untuk skuad remaja, wanita dan program akar umbi negara.
Mengikut rekod, projek NTC tidak akan terhenti di situ saja apabila dijangka Fasa kedua pula bakal dibina dengan dibiayai kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM45 juta membabitkan pembinaan bangunan seluas 1,682.8 meter persegi.
Bangunan ini akan menempatkan gimnasium, bilik pemulihan, bilik persalinan pemain, dan dewan serba guna bagi memastikan keperluan latihan pasukan lengkap dari segi fizikal dan taktikal.
























