KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran memberi kepercayaan kepada jurulatih tempatan untuk mengemudi Harimau Malaya selepas kekosongan kerusi ketua jurulatih susulan pemergian Peter Cklamovski.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat tiada keperluan untuk tergesa-gesa mencari pengendali import kerana negara masih memiliki beberapa jurulatih tempatan berpengalaman yang mampu menggalas tanggungjawab berkenaan.
Menurutnya, empat nama yang layak dipertimbangkan ialah bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
"Tak perlu membazir. Kalau ambil jurulatih luar sekali pun, apa magis yang mereka boleh buat kerana kita bukan mempunyai ramai pemain berkelas antarabangsa.
"Jadi lebih baik beri peluang kepada jurulatih tempatan kita sendiri untuk membimbing pasukan dan menimba lebih banyak pengalaman di peringkat tertinggi," katanya.
Beliau berkata, keempat-empat jurulatih berkenaan mempunyai rekod serta pengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan cukup memahami budaya serta corak permainan pemain negara.
"Buat masa ini, antara calon yang layak ialah Cheng Hoe, Kim Swee, Dollah dan Zainal Abidin Hassan. Apa salahnya kalau kita utamakan 'Buatan Malaysia' terlebih dahulu.
"Kemudian kita nilai prestasi mereka. Jika sesuai, kekalkan dan jika tidak, FAM boleh membuat keputusan terbaik untuk mencari calon lain," katanya.
Jamal turut mencadangkan pendekatan unik dengan mewujudkan panel jurulatih yang menghimpunkan keempat empat individu terbabit bagi mengendalikan pasukan secara bersama.
"Saya rasa boleh juga diwujudkan panel ketua jurulatih membabitkan mereka. Sekurang kurangnya setiap orang boleh menyumbang idea dan kepakaran masing masing demi kebaikan pasukan kebangsaan," katanya.
Sebelum ini, Harimau Malaya kehilangan pengendali apabila FAM mengumumkan kontrak Cklamovski dan jurulatih skuad bawah 23 tahun (B23), Nafuzi Zain ditamatkan menerusi persetujuan bersama.
Cklamovski kemudiannya diumumkan sebagai pengurus baharu kelab divisyen empat England, Salford City, manakala Nafuzi dijangka kembali menyertai Terengganu FC.
Malah, jurulatih berpengalaman negara, Sulaiman Hussin sebelum ini turut menyifatkan Tan Cheng Hoe sebagai calon paling sesuai untuk mengembalikan kestabilan pasukan berdasarkan pengalamannya mengendalikan Harimau Malaya selama empat tahun.
























