KUALA LUMPUR: Segala persoalan mengenai perjalanan bekas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski akhirnya terjawab apabila beliau secara rasmi dilantik sebagai jurulatih pasukan Salford City dari England.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh kelab yang bersaing dalam League Two, iaitu divisyen keempat bola sepak England, tidak lama selepas Cklamovski menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Menurut Cklamovski, beliau bertekad membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja berjaya meraih kemenangan, malah menampilkan corak permainan agresif dan menghiburkan penyokong.
Katanya, beliau tertarik untuk menerima cabaran berkenaan kerana percaya dengan cita-cita besar pemilik serta aspirasi kelab yang mahu mencipta sesuatu yang istimewa pada masa depan.
"Saya berada di sini dengan peluang cukup besar untuk mencipta sesuatu yang istimewa. Pemilik kelab mempunyai cita-cita tinggi dan kelab ini juga mempunyai aspirasi besar untuk mencapai kejayaan, dan perkara itu selari dengan apa yang saya mahukan.
"Cara untuk mencapainya adalah dengan bergerak sebagai satu pasukan dan bekerja keras setiap hari bagi terus membangunkan kelab ini. Saya tidak sabar untuk memulakan tugas ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan.
Tambah pengendali dari Australia itu, antara fokus utama adalah membentuk mentaliti pemain yang sentiasa berjuang di atas padang dengan penuh semangat, komitmen dan disiplin.
Penasihat utama Salford City, Paul Scholes turut menyifatkan Cklamovski sebagai jurulatih memiliki falsafah permainan menyerang yang menarik, namun dalam masa sama tidak mengabaikan aspek pertahanan.
Sebelum ini, Cklamovski dikaitkan dengan kelab berkenaan selepas wartawan The Telegraph, Mike McGrath melaporkan bahawa jurulatih berusia 48 tahun itu berada dalam senarai calon kelab dari England itu.
























