BH Online
Ringkasan Berita

Nishan cipta sejarah, pemain warisan Malaysia pertama beraksi di Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Australia, Nishan Velupillay, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain pertama berketurunan Malaysia yang beraksi di pentas Piala Dunia.
Nishan cipta sejarah, pemain warisan Malaysia pertama beraksi di Piala Dunia

Pemain Australia, Connor Metcalfe meraikan jaringan gol kedua bersama Nishan Velupillay dalam aksi Kumpulan D di Stadium BC Place, Vancouver. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Australia, Nishan Velupillay, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain pertama berketurunan Malaysia yang beraksi di pentas Piala Dunia.

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Melbourne itu dibawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-61 bagi menggantikan penjaring gol, Nestory Irankunda, ketika membantu Australia mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Turkiye dalam aksi Kumpulan D di Stadium BC Place, Vancouver.

Nishan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi bapanya, Sasinath Velupillay, yang juga rakyat Malaysia berketurunan Tamil Sri Lanka, manakala ibunya, Gillian Velupillay, berketurunan Anglo-India.

Bakat Nishan digilap menerusi program pembangunan remaja di kelab Melbourne Victory sebelum berjaya menembusi skuad utama, malah dia muncul sebagai penjaring terbanyak kelab itu bagi musim 2024-2025.

Dia meraih penampilan antarabangsa pertamanya bersama skuad Socceroos ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang China pada Oktober 2024.

Memulakan perlawanan di bangku simpanan, Nishan melakukan impak serta-merta apabila meledak gol debut seawal tujuh minit selepas dimasukkan, sekali gus membantu Australia mencatatkan kemenangan 3-1.

Sejak itu, dia terus membuktikan kredibilitinya dan membalas kepercayaan pengendali Australia, Tony Popovic, dengan meledak tiga gol dalam tujuh penampilan antarabangsa pertamanya sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah mendekati Nishan beberapa tahun lalu untuk memujuknya menyarung jersi skuad Harimau Malaya, namun penyerang itu memilih untuk mewakili Australia.

Video Terkini

Berita Berkaitan