KOTA BHARU: Sekumpulan bekas pemain Kelantan yang pernah mencipta sejarah meraih treble pada 2012 mengumumkan hasrat mengambil alih Kelantan WTS menerusi pembelian 80 peratus saham kelab Liga A1 Semi-Pro itu.
Langkah itu akan direalisasikan menerusi konsortium yang dibentuk oleh Ex-Treble Kelantan, yang menghimpunkan bekas pemain, pengurusan dan penyokong The Red Warriors (TRW), bersama Presiden WTS, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah.
Bekas pemain Kelantan, Mohd Nor Farhan Muhammad berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat dan kini berada pada fasa akhir perbincangan bagi memuktamadkan urusan pembelian saham berkenaan.
Katanya, pegangan 80 peratus saham itu masih belum dimuktamadkan secara rasmi dan pengumuman lanjut akan dibuat sebaik semua proses selesai.
"Kami akan menjenamakan semula WTS dengan nama Kelantan City.
"Kami juga mengharapkan pembabitan semula Bapa Pembangunan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, semua bekas pemain Treble 2012 dan pengurusan seperti Haji Azman (Azman Ibrahim), serta Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail untuk menyertai kelab ini nanti," katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Turut hadir pada sidang media itu bekas pemain Mohd Badhri Radzi atau Piya, Zairul Fitree Ishak, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Nik Shahrul Azim Abdul Hakim dan Daudsu Jamaluddin.
Sementara itu, Zairul berkata, inisiatif berkenaan digerakkan bagi mengembalikan semula maruah bola sepak Kelantan selain berkongsi pengalaman dimiliki bekas pemain dalam pengurusan pasukan.
Katanya, mereka memahami cabaran besar menguruskan kelab bola sepak terutama membabitkan aspek kewangan, namun yakin mampu membawa perubahan positif.
"Setakat ini kami sudah menerima minat daripada empat hingga lima syarikat yang bersedia menjadi penaja sekiranya pengambilalihan WTS dimuktamadkan untuk musim depan," katanya.
WTS atau nama penuhnya Wan Tendong Stable yang berpangkalan di Tendong, Pasir Mas ditubuhkan pada 2008 sebagai kelab amatur sebelum didaftarkan secara profesional di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia pada 2023.
Kelab itu mula mencuri perhatian penyokong bola sepak Kelantan selepas muncul naib juara Liga A2 pada 2024 sebelum beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.


















