KUANTAN: Tiga kemenangan dan satu seri pada dua sirkit bukti prestasi terbaik telah dilakar pasukan Pahang Rangers FC pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2026 yang diadakan Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor.
Pada perlawanan sirkit pertama skuad bimbingan, Eloy Alonso Fraile mencatat kemenangan 6-1 keatas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian berpuas hati mencatat keputusan seri 3-3 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pada sirkit kedua minggu lalu, skuad Tok Gajah menang besar menewaskan pasukan Wipers 19-2, kemudian mencatat kemenangan selesa keatas Terengganu 7-0.
Menurut Fraile, dia berpuas hati apabila kini dapat mengumpul sepuluh mata pada dua sirkit MPFL yang mampu menjadi kayu pengukur prestasi sebenar pasukan Pahang Rangers musim ini.
"Saya gembira barisan pemain seperti Felipe de Souza, Ahmad Harith Na'im Nasir, Akmarulnizam Mohd Idris, Rodrigo da Silva dan Tuah Eizlan Aminudin tampil mempamerkan kemampuan sebenar menghasilkan jaringan pada setiap perlawanan.
"Pemain dapat menjalankan tugas dengan sempurna malah tidak banyak melakukan kesilapan yang mengundang padah pada pasukan, malah peluang terhidang disempurnakan dengan berkesan. Sebanyak 29 jaringan yang dihasilkan membuktikan mereka memiliki kelebihan," katanya, dihubungi di sini semalam.
Ketika ini, Pahang Rangers menghuni tangga kedua liga di belakang Selangor FC.
Fraile berharap anak buahnya mampu mengekalkan momentum cemerlang itu menjelang aksi sirkit ketiga di Shah Alam, Selangor nanti.
























