BH Online
Ringkasan Berita

Perlis GSA hanya bawa 8 pemain, perlawanan terpaksa dihentikan

KUALA LUMPUR: Apa sebenarnya sedang berlaku dalam Liga A1 Semi Pro apabila perlawanan terpaksa dihentikan hanya kerana pasukan gagal menurunkan jumlah pemain mencukupi?
Perlis GSA hanya bawa 8 pemain, perlawanan terpaksa dihentikan

Lapan pemain Perlis GSA FC yang beraksi menentang Kelantan WTS semalam. - Foto Kelantan GSA FC

KUALA LUMPUR: Apa sebenarnya sedang berlaku dalam Liga A1 Semi Pro apabila perlawanan terpaksa dihentikan hanya kerana pasukan gagal menurunkan jumlah pemain mencukupi?

Aksi antara Kelantan WTS FC dan Perlis GSA FC semalam menjadi contoh paling jelas apabila perlawanan tidak dapat diteruskan, sekali gus mencetus persoalan besar dalam kalangan peminat.

Menurut kenyataan rasmi Kelantan WTS, perlawanan bermula seperti biasa namun situasi sudah 'luar jangka' sejak awal lagi.

"Perlawanan Liga A1 Semi-Pro antara Kelantan WTS FC dan Perlis GSA FC telah bermula seperti yang dijadualkan.

"Perlis GSA FC turun beraksi hanya dengan lapan orang pemain tanpa pemain simpanan," menurut kenyataan itu.

Keadaan menjadi lebih serius apabila berlaku kecederaan sehingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan.

"Pada minit ketujuh, perlawanan telah dihentikan sementara bagi tujuan rawatan kecederaan pemain.

"Selepas penilaian dibuat sehingga minit ke-16, pengadil mengesahkan perlawanan tidak dapat diteruskan berikutan bilangan pemain Perlis GSA FC yang tidak mencukupi," jelas kenyataan berkenaan.

Susulan itu, keputusan rasmi menyaksikan Kelantan WTS diberikan kemenangan 3-0 berdasarkan peraturan pertandingan.

Sementara itu, Perlis GSA FC tampil menjelaskan situasi sebenar yang menimpa pasukan mereka sehingga hanya mampu menurunkan lapan pemain.

"Kami ingin menjelaskan situasi sebenar di pihak kami yang menyebabkan pasukan hanya dapat menurunkan lapan orang pemain," menurut kenyataan media kelab itu.

Menurut Perlis, beberapa faktor utama menjadi punca termasuk kecederaan serius pemain utama, penggantungan akibat kad serta komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.

"Keadaan ini adalah di luar kawalan pihak kelab dan kami memohon maaf kerana tidak dapat menurunkan pasukan yang lengkap," kata mereka sambil menegaskan tetap menghormati keputusan pengadil dan pihak liga.

Situasi ini mengundang reaksi pelbagai apabila ada yang menyifatkan aksi dengan lapan pemain seolah-olah seperti perlawanan futsal, bukannya bola sepak sebenar yang memerlukan 11 pemain di atas padang.

Lebih membimbangkan, isu kekurangan pemain ini dilihat semakin berulang dan boleh menjejaskan imej serta kredibiliti Liga A1 Semi Pro jika tidak ditangani segera.

Malah, peristiwa ini bukanlah kali pertama berlaku apabila insiden sama pernah tercetus pada Mac lalu membabitkan Kelantan WTS FC menentang Machan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Machan FC gagal menurunkan pemain mencukupi sehingga kemenangan 3-0 diberikan kepada Kelantan WTS.

Video Terkini

Berita Berkaitan