BH Online
Ringkasan Berita

Selangor tanpa Pan Gon, Moraes hadapi Kuching City

KUALA LUMPUR: Selangor FC boleh dianggap tempang menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, esok, apabila terpaksa turun tanpa dua figura penting pasukan.
Selangor tanpa Pan Gon, Moraes hadapi Kuching City

Reaksi ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya. NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Selangor FC boleh dianggap tempang menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, esok, apabila terpaksa turun tanpa dua figura penting pasukan.

Kehilangan itu membabitkan ketua jurulatih, Kim Pan Gon dan peledak utama, Chrigor Moraes, sekali gus memberi tamparan besar buat Gergasi Merah dalam misi memburu tiket ke pentas final.

Kedua-dua mereka terpaksa diketepikan selepas mengumpul dua kad kuning sepanjang kempen Piala Malaysia, yang menyebabkan mereka tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan cukup penting itu.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan situasi berkenaan dan mengakui ketiadaan dua individu itu sememangnya memberi kesan kepada perancangan pasukan.

Katanya, tanpa Pan Gon di tepi padang dan Moraes di barisan depan, Selangor perlu melakukan sedikit perubahan dari segi taktikal untuk memastikan misi ke final tidak terhenti di separuh jalan.

"Kami sudah mengetahui akan berkunjung ke Stadium Negeri tanpa kelibat Pan Gon dan Moraes. Namun, tetap optimis mampu memberikan saingan sengit dalam usaha meraih keputusan positif.

"Sudah pastinya tanpa kehadiran Pan Gon dan Moraes memberi kesan kepada pasukan namun itu bukanlah alasan untuk kita menyerah kalah," katanya.

Mengikut rekod, Pan Gon menerima dua kad kuning masing-masing ketika aksi suku akhir pertama menentang Negeri Sembilan FC di Paroi dan terbaharu dalam pertemuan separuh akhir pertama menentang Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, baru-baru ini.

Moraes pula yang sudah meledak 19 gol bersama Selangor musim ini, turut mengumpul dua kad kuning, sekali gus menyaksikan penyerang berbisa itu tidak dapat diturunkan untuk memburu jaringan penting di Kuching.

Apa yang menjadikan cabaran Selangor lebih getir ialah hakikat bahawa kedua-dua pasukan masih berada pada kedudukan seimbang selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama, menjadikan perlawanan di Stadium Negeri itu ibarat hidup mati buat kedua-dua pasukan.

Video Terkini

Berita Berkaitan